Sunday, February 24, 2008

0

Hari Ini Penamaan Calon PRU-12...

Posted in ,
Sejak parlimen dibubarkan pada 13/2/08, hangat pilihanraya makin terasa, tetapi tidak sangat dirasa di kawasan saya menuntut ilmu iaitu di DUN Nusajaya di mana letaknya Universiti Teknologi Malaysia. Walaupun selepas 5 hari berlakunya pembubaran, bendera parti yang kelihatan hanyalah dari 2 parti sahaja iaitu PAS dan PKR, dan terdapat satu banner daripada BN. Dari itu, tentu sekali saya mengharapkan, bahang hangat PRU-12 akan lebih terasa pada hari penamaan calon. Dan itulah yang berlaku pada hari penamaan calon iaitu pada 24/2/2008. Sahabat saya ada memberitahu terdapat parti-parti politik yang mengadakan perarakan di Sri Putri ke tempat penamaan calon, dan ada juga yang berkonvoi motor dengan membawa bendera parti masing. Perkara ini dapat saya lihat dengan mata saya sendiri tika dalam perjalanan saya ke Jaya Jusco Taman Universiti.

Walaupun saya masih lagi belum layak untuk mengundi (tidak cukup umur), tetapi saya menyarankan kepada semua warganegara Malaysia yang layak mengundi khususnya mahasiswa/i kampus-kampus pulanglah ke kampung masing-masing untuk mengundi. Janganlah anda jadi seorang warganegara yang tidak cakna akan isu-isu semasa khususnya yang melibatkan masa hadapan negara...

Daripada Mahasiswa Untuk Mahasiswa...

0 comments:

Wednesday, February 20, 2008

0

Parti Mahasiswa Negara (PMN) semakin serious...!!!

Posted in ,
PMN bertegas mahu bertanding di Parlimen Kepala Batas
Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Tue | Feb 19, 08 | 2:52:56 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang bertegas mahu bertanding melawan Presiden Umno-BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih lagi berunding dengan parti-parti pembangkang untuk membenarkan mereka bertanding di kawasan tersebut.

Presiden PMN, Azlan Zainal berkata, setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat oleh parti-parti pembangkang untuk memberikan laluan kepada PMN untuk bertanding di parlimen Kepala Batas.

"Walaupun bertembung tiga penjuru, kami tetap akan bertanding di kawasan tersebut.

"Bertanding melawan Abdullah Badawi tidak bermaksud berdendam atau membenci tetapi sebagai menunjukkan kematangan, keberanian dan kesedaran yang tinggi di kalangan mahasiswa dalam mengamalkan demokrasi," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengesahkan bahawa hal tersebut masih berada di peringkat perundingan bersama PMN.

"Sama ada hendak memberikan laluan ataupun tidak, PAS masih lagi berbincang mengenainya. Kita akan tunggu selepas ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam Sidang Akhbar yang diadakan PMN di Kampung Berembang pagi tadi, Azlan menegaskan bahawa PMN akan bertanding atas tiket bebas sekiranya pihak Suruhanjaya Pendaftaran Persatuan tidak meluluskan pendaftaran parti tersebut.

Ketika ditanya mengenai manifesto dan peluang mereka untuk menang di kawasan tersebut, beliau menekankan bahawa tujuan utama PMN meletakkan calon di Kepala Batas adalah untuk mendekati dan bersemuka secara terus bersama mantan Perdana Menteri itu setelah suara mahasiswa sering kali dipinggirkan serta dilihat kecil dan tidak penting sebelum ini.

"Ia adalah supaya suara kami dapat didengari oleh orang nombor satu negara. Kami juga akan mengumumkan calon dan manifesto yakni tawaran PMN untuk masyarakat dalam jangka masa terdekat," katanya sambil menjelaskan moto PMN iaitu Generasi Baru Ke Arah Malaysia Baru'.

"Menang kalah bukanlah ukurannya, sebaliknya yang menjadi fokus utama adalah melaksanakan apa yang dirancang," tegasnya.

Menjawab soalan pemberita mengenai keperluan rakyat untuk bersyukur dengan keadaan negara yang ada sekarang ini, salah seorang wakil PMN, Mior Isfandy berkata kerajaan yang dipilih sebelum ini hanya menjalankan pembangunan tetapi tidak merancang mengenai pembinaan generasi akan datang.

"Kerajaan asyik menjalankan proses pembangunan negara, walaupun mencanangkan agenda membina modal insan tetapi kita tidak pasti generasi akan datang dapat menggunakan segala pembangunan yang dibuat seperti yang diharapkan, apatah lagi dengan kebejatan gejalan sosial dan masalah jenayah kian berleluasa," ujarnya lagi.

Tegasnya, pembinaan generasi adalah lebih penting daripada pembangunan material.

"Generasi baru terdiri daripada golongan belia muda, yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara untuk 50 tahun akan datang. Malangnya bagaimana mereka mahu memimpin negara sedangkan pendidikan politik tidak diberikan?" katanya lagi.

Kata Azlan lagi, mahasiswa bukanlah boneka yang boleh dibeli dengan wang, janji-janji manis dan dimandomkan dengan akta-akta yang tidak berperikemanusiaan.

"Mahasiswa merupakan aset, suara, jasad, ruh dan nyawa untuk menyumbang serta mengimbangi pembangunan negara," jelasnya lagi.

Pada masa sama, sempena sidang akhbar itu, PMN turut mengadakan program kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Berembang

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penyelesaian dan Rayuan Kampung Berembang, Nor Alizan Mohd Ali berkata, beliau yang mewakili penduduk kampung itu sangat menggalakkan program kemasyarakatan yang dibuat oleh pihak PMN ini sebagai suatu usaha murni golongan muda.

"Saya merasakan tindakan PMN mengadakan program di sini bukanlah semata-mata menjelang pilihan raya, bahkan saya berpendapat anak-anak muda ini perlu didedahkan dengan politik lebih awal sejak bergelar mahasiswa," katanya.

Pada penghujung program tersebut, PMN turut melancarkan Tabung Mahasiswa serta mengedarkan beberapa jenis barangan makanan seperti tepung, gula dan susu kepada penduduk kampung tersebut bagi membantu meringankan beban yang ditanggung sejak penempatan mereka dirobohkan pihak berkuasa tempatan.

"Ini bukanlah kali pertama kami turun ke sini, kerana kami pernah menjalankan program bertemu mereka sebelum ini," kata Syuhadah Ismail, wakil jawatankuasa PMN.

Jelasnya, pemilihan Kampung Berembang adalah untuk memperlihatkan natijah kemerdekaan 50 tahun negara, mash terdapat rakyat yang hidup melarat dan menderita.

"Seolah-olah tidak ada perikemanusiaan daripada pihak yang bertanggungjawab," katanya yang turut menjalankan aktiviti penduduk kampung Berembang bersama lebih 50 ahli PMN tengah hari tadi. - mns

-Diambil dari Harakahdaily.net-

0 comments:

0

Benarkah Multaqa Alumni al-Azhar sokong Islam Hadhari ... ?

Posted in ,
Baru-baru ini saya terbaca salah satu ruangan dalam surat khabar berita harian yang menyatakan Multaqa Alumni al-Azhar sokong Islam Hadhari.
____________________________________________________________________
Dari Sudut Berita Harian...

Islam Hadhari wajar diperluas

Oleh Nor Azma Laila dan Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Multaqa Alumni Al-Azhar 2008 yang berakhir semalam mengambil keputusan bahawa pendekatan Islam Hadhari perlu difahami dan dikembangkan pemahamannya ke negara Islam lain.

Naib Pengerusi Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Abdul Fadzil ketika membentangkan resolusi multaqa yang mengandungi tujuh perkara itu berkata, ini disebabkan Islam adalah agama ketamadunan.

“Oleh itu ia perlu dikembangkan melalui pendekatan pemikiran yang menjadikan persoalan tamadun sebagai matlamatnya serta kebangkitan umat Islam sebagai asas pemikiran,” katanya.


Multaqa yang disertai lebih 1,000 ulama, tokoh pemikir serta cendekiawan Islam itu membentangkan 18 kertas kerja dan kajian untuk menjadi panduan serta menyelesaikan masalah dan cabaran yang dihadapi umat Islam.

Majlis penutup disempurnakan Pengerusi Eksekutif Multaqa merangkap Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Hadir sama, Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir.

Antara resolusi lain yang ditetapkan adalah, Multaqa bersetuju mewujudkan cawangan Liga Antarabangsa Alumni Al-Azhar pada peringkat serantau mengikut kedudukan geografi dunia Islam yang bertanggungjawab menjalankan fungsi liga itu.

Multaqa juga menetapkan liga yang diwujudkan itu memainkan peranan mengembangkan bahasa Arab dan menjadikan tanggungjawab itu keutamaan bagi setiap cawangan liga dengan memberi perhatian kepada negara yang tidak bertutur dalam bahasa Arab.

Turut dinyatakan dalam resolusi ialah mencari penyelesaian terhadap masalah golongan minoriti Islam di seluruh dunia; membina strategi untuk melahirkan ulama dan pemikir di masa depan; membantu umat Islam Eropah dan ahli agama serta media untuk mengembangkan ajaran Islam; dan menjemput golongan hartawan untuk menyumbang kepada kegiatan liga.

Sekretariat Multaqa 2008 itu yang diselaraskan oleh Yadim akan memperincikan resolusi itu untuk dikemukakan kepada jawatankuasa alumni Al-Azhar untuk tindakan pelaksanaan.

Sebelum itu ketika berucap sebelum membentangkan resolusi, Muhammad berkata, ulama dari Universiti Al-Azhar turut melahirkan kekaguman mereka terhadap pembangunan dan kejayaan dicapai Malaysia dan menghargai pengalaman negara ini dalam menyumbang kepada pembinaan ketamadunan Islam.

“Kami (ulama Al-Azhar) terhutang budi kepada Kerajaan Malaysia dan mendoakan mereka yang bersama-sama menjayakan usaha Malaysia dalam membangunkan konsep Islam Hadhari terutama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beroleh kesejahteraan,” katanya.

Pada sesi sidang media pula, Mohd Nakhaie berkata, beberapa negara Islam seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Libya menyatakan minat untuk mendalami pendekatan Islam Hadhari.

-Diambil dari Berita Harian Online-
Banyak lagi berita mengenai isu ini dari 'perspektif yang sama'.
____________________________________________________________________
Mari kita lihat dari sudut lain pula...

Multaqa Alumni al-Azhar alat kempen BN
Zaini Hashimi
Tue | Feb 19, 08 | 4:02:30 pm MYT

Nampaknya propaganda BN semakin menjadi-jadi termasuk menerusi iklan-iklan televisen yang mendedahkan kebaikan mereka bagi meraih undi pada pilihan raya umum ke-12 (8 Mac ini) dengan belanja yang besar, menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan, malah sempat pula memburuk-burukkan negeri musuhnya seperti Kelantan dengan pelbagai dakyah agar pengundi termakan dengan tipu muslihat mereka.




Terkini ia menganjurkan kempen melalui penganjuran apa yang dikenali Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar yang berakhir semalam (18 Februari).

Apa motif penganjuran Multaqa tersebut?

Mungkin jawapannya boleh dirungkai oleh Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi, tetapi persoalannya kenapa ia dianjurkan hampir kepada waktu penamaan calon, atau dengan kata lain negara akan mengadakan pilihan raya pada 8 Mac nanti sedangkan beliau sekarang ini bukan lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.

Ini kerana selepas pembubaran Parlimen, negara ditadbir oleh kerajaan sementara yang sepatutnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang akan bertanding nanti, maknanya mana-mana program penting tidak boleh dianjurkan apatah lagi dirasmikan oleh mana-mana pihak, kerana tindakan itu boleh disifatkan sebagai mencabuli hak rakyat yang mahukan demokrasi.

Semua pihak yang peka dengan perjalanan sistem pentadbiran negara begitu memahami makna tersirat penganjuran Multaqa tersebut, ia tidak lain untuk mendapatkan 'political mileage' BN kerana pendekatan Islam Hadhari jelmaan PM sudah dilihat sebagai satu agama baru. Seorang berbangsa Cina baru-baru ini mahu masuk Islam Hadhari, kerana ia lebih mudah daripada Islam sebenar. Ini kerana pemimpin Islam Hadhari tidak mewajibkan para isteri bertudung kepala, yang penting bagi orang awam, perkataan Islam tetap ada dalam konsep jelmaan mereka.

Peserta Multaqa menerima konsep Islam Hadhari?

Benar atau tidak para peserta menerima konsep tersebut, ia terserah kepada pengetahuan Allah SWT yang telah menurunkan Islam yang sebenar melalui lidah baginda Rasulullah s.a.w.

Tetapi apa pendekatan Islam Hadhari yang cuba diperjuangkan oleh PM? Benarkah semua menteri, wakil rakyat, ahli Parlimen Umno dan BN menerima pakai konsep itu? Kenapa di negara-negara OIC lain tidak ada istilah Islam Hadhari termasuk Mesir, di mana ramai ilmuan al-Azhar menjadi peserta Multaqa, tidakkah mereka tidak tahu mengenainya supaya dapat diperkenalkan di negara mereka?

Apa yang menghairankan kita, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang merupakan graduan al-Azhar tetapi tidak dijemput secara rasmi. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, Dr Mahfodz Mohammad dan ramai lagi tokoh-tokoh bukan sahaja dalam PAS, begitu juga para pensyarah univeriti tempatan.

Persoalan Islam Hadhari yang hanya digunakan secara popular istilahnya di Malaysia, Pengerusi BN sepatutnya menjemput mereka ini bagi membincangkan dalam satu forum yang disaksikan oleh peserta Multaqa dengan tajuk cadangan seperti Islam Hadhari lawan Hadharah Islamiah.

Pihak BN boleh mengemukakan soalan, kenapa PAS dan ramai lagi ahli akademik di Malaysia dan juga saudara-saudara baru (golongan mualaf) tidak bersetuju dengan penggunaan pendekatan istilah itu, mereka lebih tahu daripada psereta yang disajikan omong-omong kosong yang sebarnya hanya gimik politik kotor Umno dan BN.

Tetapi apa sebenarnya pembangunan yang hendak dilaksanakan dalam pendekatan konsep Islam Hadhari?

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Abdul Shukor Husin turut membentangkan kertas kerja pada Multaqa tersebut menumpukan kepada pembangunan rohani yang seimbang.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, membentangkan kertas bertajuk 'Pendekatan Islam Hadhari: Pengalaman Malaysia'.

Pembangunan berdasarkan pengalaman di Malaysia sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu, dapat dilihat menerusi cara hidup orang Islam yang semakin kritikal bergelumang dengan hiburan melampau, penampilan mereka bagaikan macam orang bukan Islam, percampuran lelaki dan perempuan bebas tanpa batasan, boleh kita katakan, bahawa hati-hati orang Islam menuju ke arah kematian dan kekerasan akibat tidak ditarbiah dengan program-program agama.

Pembangunan yang sepatutnya diberi perhatian terlebih dahulu, ialah pembangunan insan dengan aspek agama dalam segenap agenda hidup mereka secara menyeluruh, ia dapat dijelmakan melalui cara berfikir, berpolitik, berkeluarga, bermasyarakat, berpakaian, penampilan diri yang sukses dengan Islam ke arah pencapaian sahsiah jati diri Muslim sebenar yang hanya memhambakan diri kepada Allah dan bukannya selain-Nya.

Pembangunan insan yang menjelamakan kalimah tauhid 'Tiada Tuhan melainkan Allah - iaitu manifesto yang juga menyakini bahawa tiada undang-undang melainkan undang-undang Allah', jika ia tidak dapat dilakukan, maka pilihlah salah satu daripada dua konsep yang pernah disebut oleh para ulama Islam - 'Ambillah Islam semuanya, atau tinggalkan Islam semuanya'. Mudah-mudahan Muslim tidak terkeliru dengan dakyah mereka yang mengkhianati Islam. - lanh

-Diambil dari Harakahdaily.net-

0 comments:

1

PNGK 4.0 Sasaran Saya...

Posted in
Sekiranya anda ingin dowload poster ini, click sahaja pada gambar ini dan tekan 'save as'...


1 comments:

0

Cara Menutup Aurat Dengan Sempurna

Cara-cara Menutup Aurat Yang Dituntut Oleh Islam

Cara-cara yang salah apabila cuba menutup aurat

0 comments:

Saturday, February 16, 2008

0

Mari Tunaikan Tanggungjawab Anda Sebagai Rakyat Malaysia...!!!

Posted in
Akhirnya, tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi telah diumumkan oleh SPR. InsyaAllah, pada 24/2/2008 akan diadakan penamaan calon dan 2 minggu selepas itu iaitu pada 8/3/2008, rakyat Malaysia akan turun mengundi di tempat masing-masing. Oleh itu, kepada semua warganegara Malaysia, ayuh, tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia, marilah turun mengundi di kawasan masing-masing tidak kira di mana anda berada.

Kepada semua mahasiswa/i, saya menyeru kepada anda, walaupun anda mungkin berada dalam kesibukan ujian, tugasan, dan beberapa lagi tanggungjawab sebagai pelajar, namun, anda juga mempunyai tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Adakah anda mahu menjadi setakat orang yang hanya menunggu keputusan dan redha atas apa-apa yang berlaku, lalu menjadi mahasiswa yang lesu. Di sini saya mencadangkan agar mahasiswa yang sudah layak mengundi, carilah jalan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, andaikata anda perlu mengeluarkan wang untuk balik ke kampung untuk mengundi, maka lakukanlah perkara tersebut, insyaAllah, pengorbanan yang anda lakukan kali ini, akan memberikan impak yang besar kepada negara kita pada masa akan datang insyaAllah.

Bagi mahasiswa yang tidak layak mengundi (termasuk saya), andaikata anda ada wang yang berlebihan, berkongsilah bersama rakan-rakan anda agar mereka dapat pulang dan mengundi. Alangkah sedihnya saya apabila PakLah mengumumkan pembubaran parlimen pada 13/2/2008. Jika diikutkan, kerajaan masih ada lagi 15 bulan untuk meneruskan pemerintahannya. Kalau digunakan sepenuhnya, umur saya pada waktu itu adalah 21 tahun, cukup-cukup untuk mengundi dan sempat untuk mendaftar (kepada yang lahir pada 1987, saya yakin, perkara inu juga berlaku terhadap diri anda semua). Namun begitu, kuasa untuk membubarkan parlimen tidak berada di tangan kita, oleh itu, bersama-sama kita membantu rakan-rakan kita untuk turun mengundi di kampung halaman masing-masing.

TUNAIKAN KEWAJIPAN ANDA...
DARIPADA MAHASISWA UNTUK MAHASISWA...

0 comments:

Thursday, February 14, 2008

0

Parlimen Telah Dibubarkan... PRU-12...?

Posted in
Secara rasminya, Pemangku Perdana Menteri (parlimen telah dibubarkan, jadi sekarang ni yang ada hanyalah kerajaan sementara) telah mengumumkan pembubaran parlimen. Tentu sekali banyak perkara yang hangat akan berlaku sehinggalah ke tempoh PRU-12 nanti. Namun begitu, sayang seribu kali sayang, mahasiswa/i kampus tidak dibenarkan terlibat secara langsung dengan politik negara akibat AUKU. Perkara yang boleh dilakukan dan tidak dianggap sebagai kesalahan hanyalah pergi mengundi pada hari mengundi. Kasihan mahasiswa...Namun begitu, kepada mahasiswa/i kampus, saya menyeru anda semua, apabila tarikh mengundi telah diumumkan, anda semua seboleh-bolehnya, persiapkan diri untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dan turun mengundi. Belikah tiket pulang ke kampung agar anda dapat menyumbangkan sesuatu perubahan kepada negara yang kita cintai ini. Janganlah jadikan golongan mahasiwa sebagai golongan yang digelar sebagai golongan yang tidak peka dan tidak cakna terhadap isu-isu semasa lebih-lebih lagi isu dalam negara kita ini.

Daripada Mahasiswa Untuk Mahasiswa...

____________________________________________________________________

Pembubaran DUN dibuat serentak untuk Pilihan Raya Umum Ke-12

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan, kira-kira 15 bulan lebih awal daripada tempoh penggal ke-11 berakhir Mei tahun depan.

Semua kerajaan negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Sarawak yang baru mengadakan pilihan raya negeri pada Mei 2006.


KEPUTUSAN RASMI: Abdullah bersama Najib ketika mengumumkan pembubaran Parlimen pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Pada sidang media khas di pejabatnya di sini, Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, memperkenankan Parlimen Ke-11 dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi membolehkan pilihan raya diadakan seperti diperuntukkan dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Abdullah menjelaskan, beliau perlu memaklumkan dan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu dan kerana itu, memberitahu pemberita kelmarin bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan semalam.

"Saya tak boleh beri sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum lagi membuat keputusan, macam mana saya nak buat kenyataan atau memberi isyarat, tak boleh.

"Yang di-Pertuan Agong mesti tahu dan mesti buat keputusan," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi TV1. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya kenapa Parlimen dibubarkan 15 bulan lebih awal, Abdullah berkata: "Tidak ada kesalahan, saya fikir elok juga kalau kita dapat buat waktu ini.

-Diambil Dari Berita Harian Online-

0 comments:

0

Proposal Oh Proposal, Mari Muhasabah Diri …

Posted in ,

Beberapa hari yang lepas, saya bersama beberapa ahli Jabatan Kebajikan dan Pengaduan Awam (JKPA) membuat persiapan terakhir untuk menyiapkan proposal kebajikan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Kebajikan yang diadakan pada keesokan hari. Tak tidur malam kami semua pada malam itu. Sepatutnya perkara ini boleh disiapkan awal cuma pihak MPP perlu menghadiri mesyuarat bersama Pihak Keselamatan UTM yang dinyatakan bermula pada pukul 8 malam. Tetapi, mesyuarat tersebut bermula pada pukul 9 malam. Kalau saya tahu bermula pada pukul 9 malam, saya akan solat Isyak terlebih dahulu. Ha, sentuh pasal solat, disebabkan mesyuarat mula lambat, maka mesyuarat pun habis lambat iaitu dalam pukul 1130 malam. Lepas tu, Jabatan Kebajikan dan Pengaduan Awam terus ke bilik MPP untuk memperbaiki proposal kebajikan. Sedar tak sedar dah pukul 2 pagi. Maka pada pukul 2 pagi, saya bersama kawan saya yang juga merupakan ahli JKPA solat Isyak di MSI. Astaghfirullah, kenapa saya boleh mengutamakan kerja berbanding solat…?

Suasana di bilik MPP pada pagi buta itu...

Selesai sahaja solat, saya pun meneruskan kerja saya bersama rakan-rakan sejabatan juga dengan seorang MT untuk menyiapkan proposal tersebut. Sedar tak sedar lagi sekali, saya tertidur dalam pukul 5 pagi. Apabila terjaga je, pukul 6.15 pagi. Maka saya pun mengajak kawan-kawan saya untuk solat subuh secara berjemaah di bilik MPP. Pertama kali saya solat kat bilik MPP. Lamakan kami semua bekerja…? Berjaga hampir sepenuh malam tu…

Muka saya selepas menyelesaikan proposal pada pagi buta itu...

Lalu saya pun terfikir, kalau saya dan kawan-kawan saya ni menggunakan tenaga dan masa yang sama untuk membuat kebaikan, mencegah kemungkaran, menegakkan keadilan, dan mendirikan agama, bukankah lebih…? Bukannya saya nak sebutkan yang buat kerja MPP ni tak baik, cuma kalau digunakan jumlah tenaga dan masa yang sama seperti kami membuat proposal, untuk digunakan mengembalikan kegemilangan MAHASISWA dan ISLAM, bukankah lebih baik…? Kadang-kala kita mampu membuat sesuatu perkara yang diamanahkan kepada kita dengan seoptimum mungkin terutamanya apabila kita nampak amanah tersebut diberikan kepada kita, tetapi tidak ramai diantara kita mampu menunaikan tanggungjawab kita yang diberikan oleh Allah S.W.T yang telah dirakamkan dalam Al-Quran dan juga Hadith Rasulullah S.A.W.

Laptop yang kugunakan untuk menyelesaikan proposal, juga tugasan lain, telah disimpan dengan rapi.


Maka di tulisan ini, saya mengajak diri saya dan juga pembaca sekalian untuk kita sama-sama muhasabah diri kita, adakah kita melaksanakan amanah yang diberikan kepada kita oleh Pencipta kita, atau kita hanya menunaikan amanah yang diberikan oleh yang dicipta oleh Pencipta. Bersama kita memuhasabah diri

Daripada Mahasiswa Untuk Mahasiwa…

0 comments:

Sunday, February 10, 2008

1

Kenangan Surat Layang

Posted in
Ketika saya berborak bersama sahabat-sahabat saya mengenai apa yang berlaku sekitar semester lepas, teringat saya akan satu surat layang yang menyinggahi bilik saya lebih kurang pukul 3.30 pagi pada akhir semester lepas, sebaik sahaja selepas peperiksaan akhir semester tamat. Tak sangka, perkara begini boleh berlaku di kalangan mahasiswa universiti. Bukankah lebih baik jika orang yang melakukan perkara ini menggunakan tenaganya untuk membantu Islam. Moga-moga Allah S.W.T memberikan hidayah kepadanya untuk kembali ke jalan yang benar.
Sampul surat yang mengandungi surat layang.









Surat layang yang terkandung dalam sampul surat yang diselitkan di bawah pintu bilik.















Hrm... Kerja apa yang dimaksudkan ya.....?

1 comments:

0

Kesenangan di sebalik kesusahan yang datang

Posted in

Beberapa hari yang lepas (lebih tepat lagi pada 6/2/08), saya bersama beberapa sahabat dalam perjalanan pulang dari melakukan beberapa gerak kerja. Dalam perjalanan pulang di lebuhraya utara-selatan, secara tiba-tiba, tayar kiri kereta di bahagaian belakang pancit. Masa kat lebuhraya ni pula nak pancit. Namun begitu, tidak sampai 30 saat, Peronda PLUS datang untuk membantu menukarkan tayar yang pancit. Tayar yang pancit itu ditukar dengan tayar yang terdapat di dalam bonet kereta, namun begitu tayar yang diganti itu pula kurang angin. Nasib baik Peronda PLUS terdapat alat yang boleh mengisi tayar dengan cepat. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan kami.

Pada sebelah malam, saya bersama beberapa sahabat saya lain pergi bermakan malam di sebuah gerai. Salah seorang daripada sahabat berhajat untuk belanja kami semua pada malam itu kerana berjaya menyelesaikan gerak kerja yang diberikan tetapi siapa sangka pada malam itu, kami semua dibelanja oleh pemilik gerai tersebut. Bukannya sikit yang kami makan. Alhamdulillah, murah rezeki kami pada hari tersebut. Setelah bertungkus-lumus melakukan gerak kerja yang diberikan, pahit manis yang dilalui, susah senang yang perlu dihadapi, setelah selesai gerak kerja, siapa sangka murah rezeki kami pada hari itu.

Teringat saya kepada salah satu firman Allah S.W.T

7. Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Surah Muhammad :7

Moga-moga Allah S.W.T menerima dan meredhai gerak kerja yang telah kami lakukan.

Amiin….

0 comments:

0

MPPUTM ke Kursus Pemantapan Sahsiah dan Pengurusan Organisasi Di ESSET, Bangi Anjuran Kementerian Pengajian Tinggi.

Assalamualaikum w.b.t, salam mahasiswa, salam perpaduan…

Pada 18 hingga 20 Januari 2008, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPPUTM) telah menghadiri satu kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Kursus Pemantapan Sahsiah dan Pengurusan Organisasi bertempat di ESSET, Bangi. Kursus yang diadakan ini merupakan sesi yang pertama di mana MPP dari zon utara, timur, dan selatan turut terlibat. Sesi yang kedua pula akan melibatkan MPP dari zon tengah, Sabah, dan Sarawak. Setahu saya, pada sesi MPP yang lepas iaitu sesi 0607, program yang hampir sama matlamat pernah diadakan di tempat yang sama iaitu program konvensyen MPP IPTA. Tetapi pada konvensyen ini, MPP dari semua zon dikumpulkan pada waktu yang sama. Suatu persoalan boleh ditimbulkan di sini, mengapa program kali ini hendak diasingkan kepada 2 sesi di mana setiap sesi adalah untuk zon yang berbeza? Adakah mungkin kerana ada pihak yang takut jika barisan MPP yang dikatakan ’pro mahasiswa’ dari zon yang berbeza bertemu dalam satu program yang dianjurkan oleh KPT. Sama-sama kita fikirkan...

Walaupun nama program ini adalah ‘Kursus Pemantapan Sahsiah dan Pengurusan Organisasi’, tidak banyak perkara disentuh mengenai pemantapan sahsiah dan pengurusan organisasi. Antara perkara yang disentuh adalah mengenai perancangan KPT, perancangan kerajaan untuk membentuk modal insan kelas pertama, dan menyentuh beberapa isu berkaitan dengan mahasiswa. Sayang seribu kali sayang, pada pendapat saya, tidak kena isi program ini dengan nama yang diberikan. Namun begitu, kehadiran MPP ke program ini juga ada kebaikan antaranya, pihak MPP dapat mengetahui perancangan KPT agar MPP dapat membantu merealisasikannya, pihak MPP dapat menjalinkan hubungan antara universiti-universiti yang hadir, dan beberapa faedah lagi (takkan nak tulis semua...).

Tak perlulah saya tulis pengalaman saya melalui ’kursus’ ini secara terperinci. Kalau nak tanya apa-apa lagi, hubungilah saya melalui emel saya atau comment di bawah ni…

DARIPADA MAHASIWA UNTUK MAHASISWA,

GMUTM…

0 comments:

Friday, February 1, 2008

0

Seorang Ulama' Meninggal Dunia...

Posted in
Pemecatan Ishak Baharom jadi pengajaran umat Islam
Saidah Hairan | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Thu | Jan 31, 08 | 4:41:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Bersemadinya jasad bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharum di Makam Diraja, Shah Alam jam 10.55 pagi tadi, mengingatkan seluruh umat Islam tentang pemecatannya sebagai mufti akhir Oktober 1997.

Seluruh umat Islam tidak akan lupa dengan sejarah pemecatan Allahyarham.

Allahyarham Ishak Baharom

Walaupun seorang pendiam, tenang dan sabar, Allahyarham tetap tegas dan berpegang pada prinsipnya.

Ceramah Allahyarham dilihat sebagai berpihak kepada PAS bermula pada majlis Maulidur Rasul di sebuah masjid di Alor Star, Kedah disiarkan akhbar Harakah dengan tajuk 'Awas Gelincir Aqidah - Mufti' pada 11 Ogos 1997.

Sebelum itu Ishak terbabit dalam mengetengahkan isu pertandingan ratu cantik dan penangkapan tiga gadis Melayu Islam dalam pertandingan ratu cantik pada 13 Jun 1997 di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya dan pengumuman larangan orang Islam menyertai sukan bina badan oleh Mufti Sarawak.

Tidak lama selepas itu, satu kenyataan dalam akhbar, oleh Kerajaan Selangor bahawa Kerajaan Negeri tidak akan memperharui kontrak Allahyarham yang akan tamat akhir bulan Oktober 1997.

Alasan yang diberi ialah umur Allahyarham telah menjangkau usia 70 tahun.

Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam mengenai fakwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah dua tahun diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Ketika Allahyarham mengeluarkan fatwa pertandingan ratu cantik itu haram, pelbagai pandangan dan alasan yang dikeluarkan oleh pimpinan Umno.

Mereka memberi alasan bahawa menggari tiga gadis Melayu Islam amat mengaibkan.

Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mencemuh institusi agama dengan mengatakan; "Kita hormati Mufti pasal sesuatu peraturan yang dibuatnya tetapi kalau Mufti mengambil tindakan tidak mengikut Islam, takkan kita tidak boleh tegur."

Ketika Allahyarham mengeluarkan fatwa pertandingan ratu cantik itu haram, pelbagai pandangan dan alasan yang dikeluarkan oleh pimpinan Umno.

Mereka memberi alasan bahawa menggari tiga gadis Melayu Islam amat mengaibkan.

Dalam menghadapi isu tersebut, penulis politik masa kini, Ahmad Lutfi Othman telah mengulas isu berkaitan dalam bukunya, "Mufti lawan Mahathir".

amum buku beliau dihalang pengedarannya dengan pelbagai cara.

Seminar Mufti dan Fakwa telah di anjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 23-24 September 1997 telah menyingkap tentang kelemahan institusi agama di negara ini.

Tindakan pemecatan Allahyarham terpaksa dilakukan. Jika tidak menyukarkan pimpinan Umno dan sekutunya untuk terus melakukan kemungkaran.

Itulah usaha yang dilakukan Umno bagi sesiapa sahaja yang bercakap benar dan menegur mereka yang berkuasa dalam kerajaan akan disingkirkan dengan apa cara sekalipun.

Mungkin ekoran pemecatan Allahyarham, ramai ahli agama dan mufti yang tidak berani menyuarakan kebenaran. Mereka lebih selesa berada dalam kemungkaran asalkan dapat meneruskan kenikmatan dunia.

-Diambil dari Harakahdaily.net-

0 comments: