Wednesday, September 17, 2008

0
undefined undefined undefined

Sumber Online diperluas ke seluruh IPT

Posted in

MOHAMED Khaled mencuba motor menggunakan kuasa oksigen dan hidrogen yang masih lagi dalam tempoh percubaan oleh Universiti Teknologi Malaysia di UTM, semalam

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperluaskan penggunaan pengajaran dan pembelajaran interaktif Sumber Online bagi Pembelajaran Bahasa Inggeris (MyLine) di 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian memperuntukkan RM4.5 juta membangunkan MyLine termasuk prasarana dan infrastruktur bagi membolehkan program pembelajaran interaktif online itu dapat dibangunkan di semua IPT selain UTM.

“MyLine adalah hasil rekaan UTM dan mampu membantu pelajar belajar dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik menerusi cara mudah kerana ia berbentuk interaktif contohnya belajar sebutan, tatabahasa dan sebagainya.


“MyLine menerima sambutan menggalakkan sejak tiga hari lalu dengan mencatatkan capaian lebih 30,000 walaupun belum dilancarkan dan kementerian akan memantau penggunaannya,” katanya selepas melancarkan kemudahan itu untuk semua IPT awam di sini, semalam.

MyLine yang dibangunkan UTM menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi direka untuk membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan memuatkan beberapa kaedah menarik termasuk aktiviti secara interaktif, bahan bacaan akademik serta penulisan.

Menerusi sistem berkenaan, pelajar boleh membuat penilaian sendiri mengenai keberkesanan pembelajaran menggunakan MyLine kerana ada ujian khusus mirip Malaysian University English Test (Muet) bagi menilai penguasaan masing-masing.
Sementara itu, Timbalannya, Datuk Idris Haron, berkata kementerian bercadang mewajibkan semua pensyarah IPTA mengikuti kursus perhubungan etnik bagi membantu usaha meningkatkan perpaduan di kalangan mahasiswa pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, kursus itu akan membolehkan pensyarah menyemai semangat perpaduan di kalangan pelajar yang sebahagian besarnya lahir daripada sistem pendidikan pelbagai aliran seperti Cina, Tamil dan Agama.

“Pensyarah mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyebarkan mesej perpaduan dan integrasi kepada pelajar universiti yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Justeru mereka perlu mempunyai pengetahuan mengenai perpaduan kerana jika tidak ia akan mencetuskan perbezaan kaum yang lebih tebal dalam diri pelajar yang terhasil daripada sistem pendidikan yang membenarkan sekolah pelbagai aliran," katanya.

Sebelum ini, semua pelajar di 20 IPTA diwajibkan mengikuti subjek wajib Modul Hubungan Etnik (MHE) mulai kemasukan sesi akademik Julai 2007/2008 selepas Kabinet meluluskan pelaksanaan program itu pada 24 Januari 2007.

Subjek yang dilengkapi maklumat terperinci mengenai corak hidup masyarakat pelbagai kaum, keturunan, agama dan budaya itu akan menjadi panduan asas pelajar mengenai hubungan etnik di Malaysia.

Diambil Dari:
Berita Harian Online

0 comments: