Friday, June 27, 2008

0

Dulu Marrybrown, Kini Starbucks Pula…?

Posted in ,
Pada 25 Jun, saya terbaca satu berita di Utusan Online yang memberitahu bahawa café-café berjenama seperti Starbucks, Kopitiam, dan juga Dunkin Donuts diberi kebenaran untuk membuka cawangan mereka di IPTA. Menurut petikan berita tersebut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, mengatakan bahawa café-café tersebut wajib menyediakan perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi untuk kemudahan pelajar. Dengan perkhidmatan tersebut, para pelajar, mahasiswa/i IPTA boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk perbincangan ataupun melakukan tugasan mereka.


Sekilas pandang jika diambil daripada perspektif orang yang berada, yang keluarganya mempunyai pendapat serumah RM15,000 dan keatas, yang tidak perlu mengambil sebarang biasiswa untuk menampung pengajian, atau yang tidak perlu mengambil pinjaman PTPTN yang masih lagi berkonsepkan riba yang haram, perkara seperti ini adalah suatu perkara yang bagus, disamping kita dapat menikmati kopi yang berkualiti tinggi, makanan yang sedap dan bermutu tinggu, kita juga dapat menggunakan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan di café-café tersebut untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada kita. Jika kita hanya memandang perkara daripada satu sudut sahaja, mungkin kita akan bersetuju dengan perkara ini...

Tetapi, pada pendapat saya, perlukah kita mewujudkan cawangan bagi café-café francais ini untuk beroperasi di IPTA jika hujah utama membenarkan café-café ini beroperasi adalah untuk perkhidmatan Wi-Fi kepada pelajar. Mari kita lihat daripada beberapa sudut:-

1. Harga
Saya pasti kebanyakan daripada pembaca sudah pun mengetahui bahawa harga makanan di café-café ini sangat mahal. Sebagai contoh, untuk secawan kopi di Starbucks adalah RM10.00. Itu baru sahaja secawan minuman, belum lagi makanan. Walaupun Datuk Idris Haron ada mengatakan supaya café-café ini member subsidi kepada pelajar, bagi saya ianya masih lagi mahal. Adakah dengan member subsidi, café-café ini akan mendapat keuntungan? Sedangkan kerajaan yang sedia ada tidak mampu untuk memberikan subsidi kepada rakyatnya, takkan pula café-café ini mahu memberikan subsidi kepada pelajar.

2. Perkhidmatan Wi-Fi
Antara faktor utama pihak KPT memberi kebenaran café-café francais ini dibuka di IPTA adalah kerana perkhidmatan sistem Wi-Fi yang akan disediakan oleh café-café ini. Sebab-sebabnya telah pun dinyatakan di tulisan di atas. Namun begitu, jika kita mengharapkan perkhidmatan Wi-Fi ini disediakan oleh café-café tersebut, bagaimana pula dengan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan oleh pihak Universiti. Saya rasa semua tahu bahawa tidak semua kampus IPTA mempunyai perkhidmatan ini, tetapi adakah kita hendak mengharapkan pihak luar pula yang member perkhidmatan ini dan bukannya pihak university. Bukankah negara kita mahukan sekurang-kurangnya sebuah universiti bertaraf apex, beberapa bertaraf dunia, dan juga ada yang bertaraf penyelidikan. Oleh itu, patutkah kita membiarkan pihak luar yang menyediakan perkhidmatan ini dan bukannya pihak universiti? Jikalau pihak luar, apa pula peranan pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajarnya? Di samping itu, café-café lain malah gerai-gerai biasa sudah mula memberikan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma seperti di gerai Graduan (Taman Universiti) dan juga Restoran Pinggiran Bayu (Taman Pulai Utama).

3. Budaya Masyarakat Kampus IPTA
Mungkin isi ketiga ini merupakan suasana di kampus UTM Skudai. Bagi IPTA lain, saya kurang pasti. Di UTM Skudai, kebanyakan mahasiswa lebih suka membeli makanan di restoran yang menyediakan pelbagai hidangan seperti di gerai-gerai makanan dan bukannya membeli makanan yang menyediakan set-set tertentu sahaja. Lagipun makanan-makanan yang disediakan adalah berpatutan dan sesuai dengan selera rakyat Malaysia. Pernah sekali satu café yang dibuka di arked meranti, UTM, iaitu Marrybrown, terpaksa ditutup kerana tidak mendapat pelanggan sedangkan lokasinya adalah sangat strategik kerana terletak di kawasan yang ramai pelajar, tetapi kebanyakan pelajar lebih suka ke gerai-gerai biasa yang terletak di arked tersebut.

4. Kenaikan Kos Sara Hidup
Baru-baru ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak iaitu sebanyak RM0.78 untuk petrol dan RM1.00 untuk diesel disebabkan kerajaan mengurangkan subsidi bagi kedua-duanya. Selain daripada itu, kesan daripada kenaikan harga minyak, harga barang-barang lain juga akan meningkat, harga perkhidmatan pengangkutan awam yang menggunakan minyak juga akan meningkat, secara kesimpulan kos sara hidup turut akan meningkat. Maka, adakah dengan membawa masuk café-café francais ini akan membantu pelajar dan pada masa yang sama akan membantu café-café tersebut?

Justeru, saya berpendapat bahawa, tidak perlu untuk café-café francais ini memasuki ke dalam kampus. Jika perkhidmatan Wi-Fi yang dijadikan tujuan supaya café-café ini beroperasi di dalam kampus, ianya adalah satu hujah yang sangat lemah. Sebaliknya, pihak kementerian dan juga IPTA-IPTA berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan Wi-Fi di kampus masing-masing.

0 comments:

Thursday, June 26, 2008

0

Selamat Datang Ke UTM, Pelajar Sesi 2008/2009

Posted in ,
Assalamualaikum w.b.t,
Salam Mahasiswa…

Menjelang ketibaan Minggu Haluan Siswa sesi 2008/2009 Universiti Teknologi Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat datang ke UTM kepada pelajar yang akan mendaftar pada sesi 2008/2009 pada tarikh 28 Jun 2008 dan 29 Jun 2009…

Teringat di saat ketika saya mendaftar pada tahun 2006. Secara tak sedar, sudah 3 tahun saya berada di UTM. Bagi pelajar daripada jurusan diploma, sudah tentu suasana di universiti tidak asing bagi mereka, tetapi bagi pelajar daripada jurusan selain daripada diploma, mereka ini ibarat kain yang boleh diwarnakan, tetapi tidak semestinya kain putih...Saya menulis sedemikian kerana, mereka telah pun diwarnakan sebelum memasuki universiti,sebagai contoh ketika mereka di sekolah rendah, menengah, ataupun matrikulasi, mereka telah dibentuk oleh keluarga mereka, rakan-rakan mereka, dan juga suasana di sekeliling mereka. Tetapi apabila seseorang itu memasuki ke alam yang baru, secara fitrahnya mereka akan mencari suatu tempat untuk mereka bergantung dan mendapat petunjuk. Andaikata dia berjumpa dengan orang yang menjual minyak wangi, maka insyaAllah dia juga akan mendapat sedikit tempias wangi orang tersebut, tetapi jika dia berjumpa dengan orang yang membuat besi ataupun senjata, maka dia pun akan terasa bahang kepanasan membuat besi ataupun senjata.

Oleh sebab demikian, pelajar-pelajar kanan (senior), perlu memainkan peranan mereka selaku orang yang mempunyai pengaruh di kalangan pelajar-pelajar baru untuk mendidik dan membimbing mereka agar berada di landasan yang betul daripada aspek jasmani, emosi, rohani, dan juga intelektual (Falsafah Pendidikan Negara). Pelajar-pelajar kanan seharusnya

Kepada pelajar-pelajar baru pula, carilah orang yang dapat membimbing anda semasa pengajian anda di kampus. Sertailah persatuan-persatuan yang dapat membina keempat-empat aspek yang ditulis di atas. Antara beberapa persatuan yang saya cadangkan adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM), sebuah persatuan mahasiswa Islam yang tertua di UTM. InsyaAllah, dalam persatuan ini anda dapat menyertai program-program yang dapat membina sahsiah anda dan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam diri anda. Di samping itu, usrah yang dijalankan oleh PMIUTM dapat membimbing anda dengan lebih terperinci untuk mengenal diri, Islam, dan juga Allah S.W.T. Oleh itu, saya menggalakkan pelajar-pelajar baru, sertailah persatuan yang dapat membimbing anda, dan jikalau boleh (seelok-eloknya mesti boleh), sertailah usrah di kampus.

Moga-moga anda semua mendapat kejayaan yang cemerlang di kampus, di dunia, dan juga di akhirat. InsyaAllah…

Kecemerlangan Anda Inspirasi Kami…

0 comments:

Sunday, June 22, 2008

0

Nyaris-nyaris tertinggal lagi...

Posted in
“Alhamdulillah…”

Itulah perkataan yang keluar dari mulut saya sejurus sahaja saya menjejakkan kaki ke dalam bas Transnasional tepat pukul 4.00 petang. Penghawa dingin yang berada di atas saya menyejukkan badan yang terasa panas dan mengeringkan peluh yang berada di badan. Lega rasanya apabila dapat mencapai tujuan yang diingini, lebih-lebih lagi dengan usaha yang telah dilakukan. “Nasib baik kita tak berputus asa tadi, kalau tak confirm tertinggal bas”. “Inilah sunnah berjuang. Kalau nak dapat apa kita hajati, kita kenalah berusaha bersunggug-sungguh, insyaAllah dapat,” kata kawanku, Din, kepadaku. Banyak pengajaran yang dapat kita perolehi sepanjang kehidupan kita di dunia ini, secara sedar ataupun tidak...


Ini bukannya kali pertama saya terpaksa berlari agar tidak tertinggal bas, tapi kali kedua dalam 3 minggu. Pada kali pertama, takdir tidak menuruti kehendakku, dan aku tertinggal bas. Mungkin ianya disebabkan kesilapanku kerana tidak merancang perjalanan, sedangkan terdapat banyak masa yang terluang, disebabkan ini saya dan beberapa lagi rakan saya telah terlewat 5 minit dan terpaksa naik bas pada pukul 3 petang. Pada kali yang kedua, saya nyaris-nyaris tertinggal lagi, kalau diikutkan perancangan, program yang saya sertai sepatutnya tamat pada pukul 1 petang tetapi atas faktor-faktor tertentu, program tersebut tamat pada pukul 2.30 petang, lalu aku dan Din terpaksa berlari mengejar masa agar peristiwa yang sama tidak berulang lagi…

Belajar Daripada Pengalaman…
Tentu sekali setiap insan yang hidup di dunia ini mempunyai pengalaman hidup masing-masing, tidak kira yang pahit mahupun yang manis. Pengalamanlah yang mengajar kita cara untuk menghadapi masalah kehidupan. Sebagai contoh, pengalaman saya ketika tertinggal bas buat kali pertama. Namun begitu, setiap diri hanya mempunyai pengalaman diri masing-masing, maka setiap diri hanya akan mendapat pengalaman diri mereka sahaja. Persoalannya, bagaimana untuk kita menimba seberapa banyak pengalaman dalam jangka hayat yang singkat ini…?

1. Pengalaman Orang Lain (Berbicara)
Melalui perbicaraan dengan orang lain yang lebih berpengalaman atau mempunyai pengalaman yang lain, kita dapat berkongsi pengalaman antara satu sama lain. Tidak semestinya kita berbicara antara 2 insan, tetapi boleh juga melalui program seperti forum, ceramah, ucapan, dan sebagainya.

2. Pembacaan
Sekiranya kita tidak mampu untuk ke program-program atau berbicara, kita boleh mendapat pengalaman melalui pembacaan seperti membaca novel, dokumentari, sejarah-sejarah manusia dan gerakan, kisah-kisah, dan buku-buku yang seangkatan dengannya.

Usaha Tangga Kejayaan…
“Nasib baik kita tidak berputus asa……,” kata kawanku, Din, kepadaku. Analogi yang mudah, saya bersama kawan saya berlari dari rumah kami ke tempat menaiki bas tanpa henti, maka kami pun sempat menaiki bas tepat pada waktunya. Alhamdulillah, dengan usaha kami dan izin Allah S.W.T, kami berjaya mencapai tujuan kami iaitu menaiki bas pulang ke kampong halaman kami.

Sama juga dalam proses pelajaran dan pembelajaran, jika diikutkan logik akal, lebih banyak masa kita luangkan untuk belajar, lebih berstrategik dalam cara pembelajaran, lebih dan lebih dalam pelbagai perkara yang menjurus kea rah kecemerlangan akademik, maka secara matematik mudah, lebih mudah untuk kita mendapat kejayaan.

Dalam pelbagai perkara, matematik mudah ini iaitu “Lebih usaha, lebih berjaya,” diaplikasikan…


3/4/5-10 Tahun Sebagai Mahasiswa
Bagaimana pula dengan kehidupan sebagai mahasiswa? Kehidupan sebagai mahasiswa hanyalah selama 3,4, atau 5 tahun, jikalau di Malaysia. Jika kita melanjutkan pelajaran, mungkin selama 7-10 tahun, itupun jika kita sambung Ijazah ataupun Doktor Falsafah. Persoalannya, sejauh mana kita ingin mengisi kehidupan sebagai mahasiswa selama 3-10 tahun pengajian. Adakah kita mahu mengisi masa kita sebagai mahasiswa dengan dunia akademik sahaja? Ataupun kita maju menjadi orang yang dapat memenangi pelbagai pertandingan samada dari segi akademik, sukan, ataupun penyelidikan? Ataupun kita mahu menjadi antara golongan yang paling sedikit ahlinya daripada golongan mahasiswa iaitu menjadi aktivis mahasiswa seperti aktivis sosiolis mahasiswa, aktivis mahasiswa islam seperti GAMIS dan PKPIM, ataupun aktivis mahasiswa secara keseluruhan seperti BBMN dan SMM.

Dewasa kini, tidak mahu tidak, kita perlu akui bahawasanya mahasiswa lesu. Maksud saya bukannya dari segi akademik, tetapi dari segi kecaknaan mereka terhadap isu-isu semasa dan respon mereka terhadap isu-isu tersebut. Kebanyakan daripada mahasiswa hanya mendengar tetapi tidak mahu memberi respon, jika memberi respon hanya sekadar melepas batuk di tangga.

Lalu, apakah tindakan yang saya dan anda (pembaca) akan ambil…?

0 comments:

Wednesday, June 4, 2008

1

Harga Minyak Disahkan Naik !!!

Posted in ,
Sebentar tadi YAB Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah telah mengumumkan kenaikan harga petrol. Bermula tengah malam nanti, harga petrol akan naik sebanyak 78 sen iaitu daripada RM1.92 ke RM2.70, manakala diesel pula akan naik sebanyak 100 sen iaitu daripada RM1.58 ke RM 2.58.

Untuk makluman lanjut sila klik link di bawah :-
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/6/4/nation/20080604175025&sec=nation
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=014952&Itemid=28
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20080604182045/Article

1 comments:

Tuesday, June 3, 2008

0

AUKU....?

Posted in , ,
Telah bertahun-tahun Pro-Mahasiswa di setiap kampus bersatu menyatakan pandangannya mengenai AUKU.
Telah bertahun-tahun Solariditi Mahasiswa Malaysia (SMM) menghimpunkan mahasiswa untuk bersama-sama bangkit menyatakan ketidakpuasan terhadap AUKU.
Telah bertahun-tahun Pro-Mahasiswa tidak diendahkan apabila menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi...



Tetapi kini, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa beberapa fasal dalam AUKU akan dipinda, maka Pro-Aspirasi (YDP UKM dan YDP UPM) yang selama ini yang hanya menurut, meneruskan tradisi mereka untuk menurut apa yang dikatakan oleh kerajaan.

Jikalau sebelum ini mereka (Pro-Aspirasi) mengatakan tidak perlu dipinda sebagai mana dikatakan oleh kerajaan, kini mereka terus menurut. Bukannya penulis ingin mengatakan tidak perlu mereka menurut, tetapi untuk kali ini, lebih baik mereka menurut kerana dengan menurut sekurang-kurangnya mereka dapat ‘memperjuangkan’ kebebasan mahasiswa IPT. Penulis mengharapkan selepas ini Pro-Aspirasi dapat bekerjasama dengan Pro-Mahasiswa untuk berganding bahu memperjuangkan hak mahasiswa. Tunjukkanlah bahawa golongan mahasiswa ini bukannya golongan yang lesu dan tidak berani menyuarakan hak yang sepatutnya dikecapi.

Apa yang ingin penulis tekankan adalah, gerakan untuk meminda AUKU ini telah lama wujud, dan diperkuatkan lagi dengan tertubuhnya Gerakan Mansuhkan AUKU (GMA) kemudian ditukar kepada Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), demonstrasi bersilih ganti, memorandum terus dihantar, namun tiada perubahan yang diinginkan

Tetapi, ketentuan bergantung kepada Allah S.W.T, akhirnya pada tahun 2008, jemaah menteri akan membincangkan mengenai pindaan AUKU. Apa yang akan berlaku selepas ini, samada akan dipinda ataupun tidak, jika dipinda adakah lebih baik ataupun tidak, kita tunggu dan lihat…

~Daripada Mahasiswa Untuk Mahasiswa~
~A New Hope, A New Inspiration~

Usah kongkong pelajar berpolitik
Oleh Zainab Mohd Yatim
Persatuan harap pindaan AUKU tak sekat hak mahasiswa

KUALA LUMPUR: Pertubuhan perwakilan pelajar universiti berharap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak disertai peraturan baru yang mengongkong khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat.
"Kami menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda AUKU, tetapi isu yang menjadi perdebatan ketika ini ialah mengenai pembabitan pelajar dalam politik dan ini tidak seharusnya dijadikan teras pindaan.

"Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, yang memberi jaminan pindaan kepada AUKU tidak akan mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif.
Mohd Zaid berkata, kehidupan mahasiswa seharusnya tidak terhad hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial dan perpustakaan, sebaliknya membabitkan seluruh kehidupan universiti dan masyarakat, termasuk kokurikulum, kebajikan dan politik kampus.

Pembabitan seumpamanya mampu untuk mematangkan kepemimpinan mahasiswa dan membuka minda mereka untuk memandang kepada dunia luar sebagai penilaian mengenai apa yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan.

"Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.
"Malah bukan isu politik saja yang menjadi minat pelajar, sebaliknya pelbagai isu semasa dalam negara dan global, yang juga tidak dapat lari daripada perkembangan politik semasa," katanya dengan keyakinan pindaan itu akan 'membebaskan' pelajar universiti, bukan untuk jalan salah, sebaliknya bebas untuk membina kecemerlangan diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, berkata perbincangan mengenai AUKU lebih kepada isu yang mengikat pelajar daripada isu berkaitan politik.

"Akta yang terhad akan membantutkan minda pelajar untuk melahirkan pendapat dan berhujah sedangkan ini adalah sebahagian kemahiran ini yang perlu dijana dalam diri seorang pelajar cemerlang," katanya.
-Berita Harian-

Rasional pindaan AUKU

MUHAMMAD ZUKHAIRI MUHAMMAD SALEHUDDIN
UIAM
(Pro-Mahasiswa)

REAKSI Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pemindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga caj tiga peratus Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan baru-baru ini pasti disambut baik oleh sebilangan besar mahasiswa di negara ini.

Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua perkara ini hangat dibicarakan oleh seluruh mahasiswa. Perdebatan yang tidak henti-henti ini diharapkan akhirnya dapat memberi kesan yang amat baik kepada warga mahasiswa sekalian.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama, golongan mudalah yang menjadi harapan dan tumpuan pembentukan minda kelas pertama ini.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa golongan mahasiswa atau golongan muda inilah merupakan aset sesebuah negara yang amat berharga. Jika salah corak yang dilakar, maka buruklah golongan muda yang bakal menjadi pemandu negara satu ketika nanti.

Maka, satu budaya analitikal dan kritikal perlu dibentuk agar golongan ini mampu mencabar minda mereka ke tahap maksimum.

Kebebasan dalam mengutarakan pendapat yang kritis juga perlu diberi agar mahasiswa mempunyai jiwa besar. Segala kekangan yang mampu menghalang dan menakut-nakutkan sebilangan besar mahasiswa perlu dialihkan.

Di samping itu, kegiatan kemasyarakatan perlu dipergiat lagi. Daripada aktiviti seumpama inilah mahasiswa dapat menyelami keadaan masyarakat di luar sana dan mampu menerapkan semangat saling membantu, bertanggungjawab serta toleransi antara satu sama lain.

Keterlibatan bersama badan bukan kerajaan juga mampu membantu menjadi mangkin kepada hasrat murni kerajaan dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama.

Melalui aktiviti seumpama ini, mahasiswa tidak akan hanya terkongkong dan terikat dengan kelas dan kawasan kampus sahaja.

Sebaliknya mahasiswa lebih terbuka dan matang dalam memahami keadaan negara serta menghargai keadaan yang ada.

Menyorot kembali era kemahasiswaan dahulu kala, mahasiswa merupakan mereka yang petah dan lantang berbicara. Pentas pengucapan umum perlu dibuka semula bagi memastikan mahasiswa mampu membina keyakinan diri serta mempelajari disiplin mengutarakan pandangan melalui sumber dan fakta yang konkrit.

KerenahKerenah birokrasi yang wujud dapat dikendurkan agar tidak membantutkan proses perkembangan mahasiswa, aset negara ini.

Jika sistem sedia ada mampu juga melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, maka saya percaya dengan sedikit lagi kelonggaran mampu melahirkan mereka yang lebih berketerampilan serta mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.

Berkaitan PTPTN, sekiranya dapat dihapuskan caj tiga peratus itu, semestinya ia merupakan berita yang melegakan buat seluruh mahasiswa. Dengan masih adanya isu pengangguran, kos hidup yang semakin tinggi, sudah pasti jika dapat dihapuskan caj ini, ia dapat melegakan sedikit para graduan yang baru menginjak dalam dunia pekerjaan.

Isu riba atau tidak, sudah begitu banyak seminar dan pembentangan kertas kerja dilakukan. Paling tidak, sekiranya perlu dikenakan caj perkhidmatan, biarlah sistemnya betul dan tepat. Hal ini juga dilihat sebagai bertepatan dengan negara kita yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara. Pemurniaan demi pemurniaan dalam sistem sedia ada perlu diteruskan demi menjunjung semangat yang diterap ke dalam perlembagaan negara.

Adalah menjadi harapan agar berlakunya perubahan dan pemurniaan dalam kedua-dua perkara ini yang telah menjadi bahan debat sejak dahulu lagi.

Moga-moga usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama dapat direalisasikan dengan sedikit perubahan ini.
-Utusan Malaysia-

0 comments:

Sunday, June 1, 2008

0

Naik Lagi…?

Posted in ,

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca satu berita yang menunjukkan permintaan pengusaha melalui Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bas untuk menaikkan lagi tambang bas. PMBOA memohon agar tambang bas dinaikkan sebanyak 100% bertujuan untuk menampung kos operasi serta alat ganti. Dari satu sudut, permintaan PMBOA untuk menaikkan lagi tambang bas dilihat agak relevan kerana, dengan kenaikan harga minyak di pasaran, kenaikan harga makanan, kenaikan harga alat ganti, dan akibat daripada kenaikan harga barang-barang ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pengurusan pengusaha bas...

Sekali pandang, dengan hanya melihat kepada kadar kenaikan barang di pasaran dunia, kenaikan harga tambang bas adalah relevan. Namun begitu, jika dibandingkan dengan perkhidmatan bas di tempat lain (luar Negara seperti London), perkhidmatan bas di Malaysia terutamanya bas berhenti-henti adalah mengecewakan (bagi pandangan saya).

Ketika saya berada di London pada tahun lepas, perkhidmatan bas adalah sangat memuaskan. Dari aspek ketepatan masa, jadual bas, maklumat perjalanan bas, dan pelbagai lagi sangat mudah untuk didapati. Di setiap pondok bas, di kedai runcit, dan juga di hotel-hotel menyediakan pelbagai maklumat untuk didapati mengenai system perkhidmatan pengangkutan awam yang terdapat di kotaraya London. Masa untuk menunggu antara bas juga adalah singkat, ditambah lagi dengan cuaca di sana yang dingin, tak kisah sekiranya terpaksa menunggu bas. Tetapi dengan cuaca di Malaysia yang tidak menentu, sekejap panas lepas tu hujan, tentu sekali masyarakat tidak ingin menunggu bas dalam masa yang lama.


Pada pandangan saya, saya merasakan kenaikan tambang bas ini adalah releven tetapi bukan sebanyak 100%, mungkin dalam lingkungan 15%-20%, disamping itu mestilah terdapat peningkatan dalam perkhidmatan bas.

Apa gunanya penswastaan tetapi kualiti tidak meningkat.

Pengusaha bas minta naik tambang
Oleh Amin Ridzuan Ishak
.
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memohon untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.
.
Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berikutan peningkatan mendadak harga diesel dan alat ganti.
.
"Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005 sedangkan harga diesel sudah dinaikkan tiga kali, manakala kos alat ganti pula semakin bertambah," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
.
Mengikut cadangan PMBOA, tambang bas ekspres berhawa dingin di Semenanjung perlu dinaikkan kepada 15 sen untuk jarak satu kilometer (km) berbanding 6.5 sen setiap km kadar sekarang.
.
Bagi perkhidmatan bas ekspres tanpa penghawa dingin pula, PMBOA memohon kenaikan tambang sebanyak 10 sen setiap kilometer berbanding 5.5 sen yang dikenakan ketika ini.
.
"Bagi bas berhenti-henti berhawa dingin, kami meminta kenaikan tambang kepada RM1.50 untuk setiap km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 72 sen dan 7.2 sen.
.
"Bagi bas berhenti-henti tanpa pendingin hawa, kami memohon tambangnya dinaikkan kepada RM1 untuk setiap dua km pertama dan 15 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 48 sen dan tujuh sen.
.
"Bagi laluan berbukit pula, kami memohon supaya dibenarkan caj tambahan sebanyak 20 peratus lagi daripada kenaikan itu," katanya.
.
Ashfar berkata, bagi pengusaha di Sarawak, PMBOA mahu kadar tambang bagi bas ekspres berhawa dingin dinaikkan kepada 22 sen bagi km pertama berbanding 11 sen ketika ini di Sabah, ia dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen untuk jarak yang sama.
.
"Bagi bas ekspres tanpa penghawa dingin di Sabah, kadar kenaikan tambang yang dicadangkan adalah 15 sen bagi kilometer pertama berbanding 8.5 sen ketika ini.
.
Bagaimanapun tiada jumlah ditetapkan untuk Sarawak," katanya.
.
Bagi bas berhenti-henti tanpa penghawa dingin di Sarawak, pihaknya mencadangkan tambang lima km pertama dinaikkan kepada RM1.20 dan 15 sen bagi setiap km berikutnya manakala bagi yang berhawa dingin, masing-masing diminta dinaikkan kepada RM1.50 dan 20 sen untuk jarak sama.
.
Di Sabah pula, PMBOA memohon tambang bas berhenti-henti berhawa dingin dinaikkan kepada RM1.50 bagi dua km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya manakala yang tidak berhawa dingin, kadar dicadangkan adalah masing-masing RM1 dan 15 sen untuk jarak laluan sama.
.
Selain itu, PMBOA memohon supaya kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas mini daripada masing-masing 80 sen kepada RM1.10 untuk yang berhawa dingin dan daripada 70 sen kepada RM1 bagi yang tidak berhawa dingin.
.
PMBOA turut meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengehadkan pemberian permit bas bagi mengelak ia menjejaskan lagi pendapatan pengusaha bas sedia ada.
.
Ashfar berkata, pengusaha mendapati kenaikan tambang yang diumumkan pada 2005 bukan saja gagal membantu mereka meningkatkan keuntungan, malah tidak cukup untuk menampung kos operasi masing-masing.
.
"Akibatnya, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu ialah jika kerajaan membenarkan kami menaikkan kadar tambang perkhidmatan.
.
"Kami bukannya mahu menyusahkan pengguna atau mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak tetapi jika keadaan terus begini, kita bimbang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan akhirnya ia akan membebankan orang ramai," katanya.

-Berita Harian-

0 comments:

0

Bencana Dan Krisis Yang Kian Menimpa…

Posted in
Antara bencana yang menimpa manusia pada tahun ini…

Taufan Nargis

'Taufan Nargis'

Pada 2 Mei 2008, kita dikejutkan dengan sebuah taufan yang telah melanda negara Myanmar iaitu Taufan Nargis. Taufan nargis merupakan taufan paling merbahaya yang pernah melanda negara tersebut. Bencana ini telah mengakibatkan kematian sebanyak 90,000 orang, 56,000 orang masih tidak dijumpai, dan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal. Banyak pihak di serata dunia sudi untuk menghulurkan bantuan, namun begitu, kebanyakan daripada mereka tidak dapat melakukannya dengan baik kerana terdapat halangan daripada kerajaan Junta Myanmar, terutamanya dalam mendapatkan visa untuk memasuki Myanmar. Perkara ini telah menimbulkan kontroversi dalaman Myanmar...

Untuk makluman lanjut boleh rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Cyclone_Nargis

Gempa Bumi di China
Sepuluh hari selepas Myanmar dilanda taufan, pada 12 Mei 2008, negara China pula digegarkan dengan gempa bumi sekuat 8.0 magnitud. Gempa bumi telah mengakibatkan kematian sebanyak 60,000 orang, dan ramai yang kehilangan tempat tinggal. Masih terdapat lagi ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang roboh akibat gempa bumi tersebut.

Gempa bumi ini turut membentuk sebuah tasik di kawasan tanah runtuh yang akan mengakibatkan kawasan tersebut menjadi banjir. Disebabkan ini, lebih kurang 200,000 orang terpaksa dipindah ke tempat yang lebih selamat.


'Tasik yang terbentuk akibat gempa bumi'

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20080531223431/Article/
http://news.yahoo.com/s/afp/20080601/ts_afp/chinaquake_080601045610
http://www.newkerala.com/one.php?action=fullnews&id=67641

Krisis Makanan
Walaupun harga minyak di pasaran telah meningkat lagi, kini masyarakat dunia terpaksa menghadapi satu lagi krisis yang akan mengganggu kehidupan harian mereka iaitu kenaikan harga makanan. Baru-baru ini, harga beras di pasaran telah meningkat dengan mendadak dan ini secara langsungnya akan menyebabkan harga makanan ruji rakyat Asia Tenggara akan iaitu nasi akan meningkat.

Bukan setakat harga beras sahaja, berdasarkan sebuah berita yang dipaparkan di www.financialpost.com, harga makanan mentah telah naik sebanyak 22% pada tahun lepas. Gandum telah meningkat sebanyak 92% pada tahun lepas dan jagung pula telah meningkat sebanyak 44% sepanjang 15 bulan yang lalu.

Krisis ini berlaku akibat permintaan yang semakin meningkat daripada penduduk dunia tetapi bekalan yang tidak dapat menampung dengan kadar peningkatan manusia.

http://www.financialpost.com/story.html?id=213343
http://www.sundayherald.com/news/heraldnews/display.var.2104849.0.2008_the_year_of_global_food_crisis.php
http://www.theglobeandmail.com/servlet/story/LAC.20080602.RREGULY02/TPStory/Business

0 comments: