Friday, March 27, 2009

2

Perjalanan Masih Jauh… (Updated 28 March 09)

Posted in
Dalam perjalanan pulang ke rumah sewa, menelusuri lingkaran ilmu yang mengelilingi Dewan Sultan Iskandar yang akan berlangsung Majlis Konvokesyen Ke-42 Universiti Teknologi Malaysia, saya terfikir mengenai masa hadapan saya yang hanya diketahui Allah S.W.T. Beberapa tahun lepas, saya pernah berkata dalam satu mesyuarat, “Kalau boleh, bergraduasilah pada masanya, jangan extend, dah grad terus cari dan sertai perjuangan di luar.” Sejurus kemudian saya pun menerima mesej, “Apa salahnya extend, dapat membantu gerakan di dalam.” Kebetulan memang perancangan si pemberi mesej untuk melanjutkan masa pengajiannya (extend, baik sikit bunyinya). Setelah beberapa masa yang berlalu, berdasarkan situasi terkini, saya pun merancang untk melanjutkan masa pengajian. Kita akan diuji dengan apa yang dikatakan…

Continue Reading...
Terfikir mengenai masa hadapan. Berpisah sementera dengan teman seperjuangan di kampus, adakah kita akan istiqamah dengan gerak kerja di luar sana? Adakah kita akan terus mencari landasan perjuangan, atau kita mahu menunggu panggilan istimewa menjemput anda? Adakah kita akan menggunakan pengalaman di kampus membantu gerakan di luar? Persoalan-persoalan sebegini sering menghantui pemikiran saya apabila berfikir mengenai masa hadapan.

Kerja tetap kerja. Mahu ataupun tidak, kita perlu bekerja untuk menyara kehidupan. Tidak kisah sama ada bekerja dengan orang lain (sebagai contoh jurutera) ataupun bekerja sendiri. Namun begitu perjalanan masih jauh, andaikata kita takut dibuang kerja, dibuang pangkat, ditarik gaji, adakah anda lupa firman Allah S.W.T dalam Surah At-Taubah ayat 24.

Itu baru sahaja daripada aspek kerja. Bagaimana pula dengan kekeluargaan? Haaa, topik yang selalu dibincangkan di rumah sewa. Teringat kata-kata seorang ustaz, apa gunanya kita hebat dalam gerakan di kampus, memantapkan fardhi muslim, tetapi apabila keluar nanti, tidak mahu menghidupkan baitul muslim, yang paling mengecewakan apabila berkahwin dengan yang tidak memahami kewajipan berjihad di jalan Allah. Perjuangan bukan setakat di kampus, bukan setakat dalam organisasi, bukan setakat ‘sembang kemas’, tetapi memerlukan untuk kita membina baitul muslim. Melahir dan membina anak-anak umat Rasulullah S.A.W, menjadi sehebat para sahabat, andai tidak mampu menjadi sehebat Salahuddin Al-Ayyubi yang membebaskan Palestin, atau menjadi sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh. Adakah ini sekadar angan-angan kosong, tidak. Inilah salah satu cita-cita yang wajib disemai dalam setiap diri yang mengaku sebagai pejuang. Bagaimana mahu mencari teman hidup yang mampu bersama-sama istiqamah dalam perjuangan? Mana mungkin saya mampu kongsi pada masa kini, mungkin apabila dah berkahwin nanti mampu saya huraikan.

Perjalanan masih jauh, dan banyak perkara yang mesti difikirkan secara masak, daripada akademik, ke alam pekerjaan, tidak pula juga alam kekeluargaan, dan banyak lagi perkara. Pengalaman mengajar untuk mematangkan diri, tetapi pengalaman diri sendiri tidak mencukupi, belajarlah daripada orang lain, agar perjalanan yang jauh itu, dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

2 comments:

Wednesday, March 25, 2009

3

RUKUN AL-FAHMU : APLIKASI DALAM DUNIA KEMAJUAN DAN KEJURUTERAAN

Posted in ,
Dalam era ledakan teknologi ini, ramai yang mahu menjadi jurutera, memikirkan masalah-masalah yang timbul dalam dunia material, dan mencari penyelesaian untuk memudahkan kehidupan manusia. Pada pandangan saya, kepentingan mendalami ilmu kejuruteraan adalah sama pentingnya dengan kepentingan ilmu agama, terutamanya dalam kita bersaing dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Namun begitu, realiti masa kini tidaklah begitu mesra kepada jurutera-jurutera, lebih-lebih lagi jurutera di negara yang sedang membangun. Daripada perkongsian dalam salah satu kuliah di Fakulti saya (FKE), sekiranya anda ingin kerjaya hidup sebagai jurutera maka percayalah, jawatan yang paling tinggi anda kecapi hanyalah konsultan. Sekiranya jawatan anda sebagai sebuah pengurus (manager) dalam sesebuah syarikat kejuruteraan, anda bukanlah seorang jurutera, tetapi anda adalah pengurus. Untuk menjadi konsultan bagi projek-projek kejuruteraan pula anda mestilah menjadi Jurutera Professional (pangkat Ir. di belakang namanya). Gaji bagi jurutera biasa tiadalah tinggi. Ini baru sahaja di peringkat jawatan.
Continue Reading...

Dalam pentadbiran syarikat pula, jurutera tidak mempunyai kuasa dalam menentukan keputusan terakhir dalam mana-mana projek. Walau hebat manapun perancangan anda sebagai jurutera dalam menyelesaikan masalah, sekiranya tidak dipersetujui oleh pihak tertinggi dalam syarikat anda, maka usaha yang anda lakukan tidak diterima. Banyak peristiwa seperti ini telah berlaku dalam bidang kejuruteraan, kerana aspek kejuruteraan hanyalah sebahagian aspek daripada beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan oleh pihak tertinggi syarikat. Sekiranya pihak tertinggi mempunyai kefahaman yang jelas mengenai bidang tugas sebenar jurutera, dan menghormati jurutera dan tugasannya, maka perkara ini tidak menjadi masalah, tetapi jika tidak, perkara yang tidak diingini mungkin berlaku.

Bagaimana pula jika terdapat beberapa masalah dalam projek yang dilaksanakan oleh syarikat anda? Siapakah yang akan dipersalahkan, adakah pihak yang menerima projek tersebut (konsultan), pihak yang menawar projek tersebut (Kementerian), ataupun pihak melaksanakan projek (kontraktor)? Kementerian adalah orang yang menawar dan memilih konsultan untuk mengendalikan projek, kontraktor pula pihak yang melaksanakan projek tersebut. Jika timbul masalah ketika projek sedang dilaksanakan, siapakah yang akan dipersalahkan? Jika dalam bidang pengurusan, mungkin boleh disalahkan pihak kementerian kerana memberikan kontrak kepada konsultan yang tidak sepatutnya, tetapi dalam aspek keselamatan dan lain-lain berkaitan dengan pengguna, maka juruteralah yang akan dipersalahkan.

Terdapat banyak kes-kes yang berlaku, jika dikaji, punca utama adalah masalah pengurusan, tetapi dalam realiti, jurutera yang akan dipersalahkan. Jika anda mahu melaporkan kesilapan pihak atasan anda, anda mungkin akan digantung atau dibuang kerja. Adakah anda masih lagi mahu menjadi jurutera?

Pada pandangan saya, jurutera perlu faham tujuan sebenar mereka wujud dalam dunia ini. Sebagai orang Islam, Allah telah memberikan panduan kepada hamba-hambanya mengenai tujuan mereka dihidupkan.

Bagaimana pula dengan jurutera? Bagi jurutera Islam, telah menjadi kewajipan bagi mereka melaksanakan tuntutan habluminallah dan habluminannas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia). Perkara ini telah pun dikaji dan diajar dalam kitab-kitab. Peranan jurutera Islam pula hanyalah untuk pergi menuntut ilmu agama ini.

Secara umumnya, jurutera mempunyai kod etikanya yang tersendiri iaitu kod etika kejuruteraan. Secara kesimpulannya, kod etika ini memberikan panduan terhadap bidang tugas yang sepatutnya jurutera laksanakan. Sekadar menghafal kod etika ini tiada manfaatnya jika kita tidak memahaminya, menghadamnya, dan mengamalkannya.

Sebagai jurutera, kita perlu faham bidang tugas jurutera. Bidang kejuruteraan bukanlah tempat untuk mencari kekayaan, bukanlah tempat untuk meluaskan pengaruh, bukanlah tempat untuk mencari populariti, tetapi bidang kejuruteraan adalah tempat untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, dan menunaikan amanah kita demi menjaga hubungan dengan Allah dan juga manusia.

Wahai jurutera-jurutera sekalian. Janganlah anda menarik kaki anda keluar setelah anda berada dalam bidang ini. FAHAM tugas anda. Lakukanlah yang terbaik. Biarlah pahit di dunia ini tetapi ia hanya sementara untuk kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi.

3 comments:

Wednesday, March 18, 2009

1

Mari Mengembalikan Pendidikan Islam.

Posted in , ,
Alhamdulillah, keputusan SPM 2009 baru sahaja dikeluarkan, dan saya pasti ada pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, samada yang mengambil SPM itu sendiri dan juga pemerhati daripada dekat dan jauh (ibu bapa dan pihak-pihak lain). Mengimbas kembali ketika saya mengambil keputusan SPM saya, segala puji hanya bagi Allah kerana memberikan saya keputusan yang cemerlang (6 1A, 1 2A, 2 3B, dan 1 4B) walaupun tidak secerlang pelajar terbaik Malaysia tahun itu Celestina Johnny Bouniu (16 1A). Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk meneruskan pengajian saya di peringkat Matrikulasi (KMM) dan IPT (UTM Skudai).
Namun begitu, saya merasakan kejayaan saya kecapi merupakan kekosongan buat diri saya. Walaupun berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi apabila dikoreksi semula diri, apa gunanya kejayaan dunia jika tidak diiringi dengan kejayaan akhirat. Dewasa kini, sistem pendidikan di Malaysia (pada pandangan saya), telah mengecilkan kaitan antara ilmu akademik dengan agama (bagi saya pendidikan berteraskan Islam). Walaupun terdapat matapelajaran Pendidikan Islam diberikan kepada semua pelajar beragama Islam, sebahagian kecil daripada setitis air di lautan.Continue Reading...

Bukan setakat itu sahaja, sistem pendidikan yang wujud kini mengajar pelajar mengejar kemewahan dunia tanpa melihat kepada kejayaan akhirat. Kekosongan jiwa telah menyebabkan kejayaan dunia diiringi dengan perbuatan-perbuatan yang menjauhkan diri yang berjaya dengan Pemberi Kejayaan, sehinggalah berlakunya pelbagai masalah. Berapa ramai orang yang berjaya di peringkat atasan terlibat dengan rasuah? Berapa ramai orang yang hanya bekerja untuk mengisi kelapangan hidup dan perut mereka?

Sejarah telah membuktikan, gabungan antara ilmu agama (Islam) dengan ilmu dunia telah melahirkan tamadun yang berkualiti tinggi. Ibnu Rushd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad (lahir 1126 dan meninggal dunia 1198) adalah ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fikah mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains. Ibnu Rushd terkenal untuk terjemahan hasil kerja Aristotle yang dilupai barat. Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dari Iran. beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan. Muhammad ibn Musa Khwarizmi merupakan ahli matematik, asrtonomi, dan geografi. Bilakah lagi kita mampu melahirkan umat Islam sehebat mereka? Ulama’ dalam pelbagai bidang.

Alhamdulillah kini, beberapa hamba Allah telah membuktikan, pendidikan berteraskan Islam bukan hanya mampu orang yang mahir dalam bidang agama, tetapi menguasai pelbagai bidang, malah diiringi dengan keindahan agama (Islam). Antaranya pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar (17 1A) daripada Maahad Muhammadi Perempuan, pelajar terbaik SPM 2007 Azali Azlan (20 1A 1 2A) SMKA Yan, dan pelajar terbaik SPM 2008 Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal (19 1A 1 2A) daripada Maahad Muhammadi Perempuan. Beberapa berita mengenai pelajar terbaik SPM 2008: 1,2,3,4,5. Moga-moga mereka kekal dengan kecemerlangan dalam bidang keilmuan.

Saya mengharapkan agar system pendidikan negara Malaysia akan berubah, demi mengembalikan martabat negara di kacamata manusia dan Penciptanya. Masa depan sesuatu tamadun bergantung kepada pemudanya, dan masa depan pemuda bergantung kepada sistem pendidikannya (tarbiyyah). Tidak sempurna sistem pendidikan, maka tidak sempurna pemuda, justera hancurlah masa depan tamadun tersebut. Alhamdulillah, kini terdapat segelintir pihak yang berusaha membaikpulih sistem pendidikan negara seperti usaha yang dilakukan oleh GAMIS (Kongres Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara pada 9 Mei 2009). Moga-moga usaha mereka dapat membantu mengembalikan kebanggaan sistem pendidikan Malaysia.

1 comments:

Sunday, March 8, 2009

0

Ya Allah... Ampunilah Daku...

Posted in , ,
Setelah selesai saya menjalankan tugas sebagai juri penilai bagi sebuah pertandingan ‘Open Talk’, hatiku berasa resah. Manakan tidak, tajuk-tajuk yang dikupas oleh peserta pertandingan tersebut adalah mengenai isu umat Islam. Bermula dengan tajuk ‘Budaya Ber’Couple’: Apa Rasionalnya’, ‘Boikot Barang Israel’, dan ‘ Palestin, Apa Kesudahannya?’ Para peserta bijak mengupas isu-isu ini dan mengaitkannya dengan masalah umat Islam dewasa kini. Di sinilah yang menyebabkan hatiku berasa resah. Satu demi satu peserta menyatakan kesilapan dan kelemahan umat Islam.
Umat Islam kini tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

Umat Islam kini tidak bersatu.

Umat Islam kini tidak peduli akan saudaranya di negara lain.

Dan pelbagai lagi kelemahan dan kesilapan umat Islam disebut daripada peserta pertama hinggalah peserta terakhir.Continue Reading...

Saya terharu kerana salah seorang peserta pertandingan tersebut berasal daripada Palestin. Nun jauh di sana saudara-maranya meninggal, syahid di bumi Palestin, tetapi apakah respon umat Islam? Nun jauh di sana wanita-wanita ditangkap secara kejam oleh Zionis dan dirogol, tetapi apakah respon umat Islam? Nun jauh di sana anak-anak kecil yang belum sempat mengenal kehidupan dunia, tidak bersalah, dibunuh dengan kejam oleh zionis, tetapi apakah respon umat Islam?

Mahmoud Abbas ‘memberi keizinan’ kepada tentera zionis untuk menyerang Ghazzah, Husni Mubarak menutup sempadan, tidak membenarkan bantuan masuk ke dalam Palestin kecuali dengan ‘restu Zionis’. Apakah respon umat Islam?

Di seluruh dunia demonstrasi diadakan, menunjukkan kebencian dan kemarahan terhadap Zionis, namun begitu apakah kesannya?. Hampir di seluruh dunia, kempen memboikot barangan Israel dijalankan untuk melumpuhkan ekonomi Israel, namun begitu apakah kesannya? Semua umat Islam disaran agar sentiasa mendoakan untuk saudara mereka di Palestin. Apakah kita pasti doa kita akan termakbul?

Bukannya saya ingin memperlekeh respon yang telah dilakukan oleh masyarakat dunia, kerana saya turut melakukannya. Tetapi kita perlu berusaha ke arah puncanya masalah ini berlaku. Adakah kita sedar, setelah berlalunya lebih daripada 1400 tahun yang lalu, umat Islam semakin jauh daripada ajaran Baginda S.A.W. Semakin lama kita semakin jauh daripada mengamalkan sunnah baginda S.A.W. Adakah dengan demonstrasi semata-mata, umat Islam mampu mengalahkan Zionis? Adakah dengan memboikot sahaja dapat menghancurkan Zionis? Adakah dengan jauhnya kita daripada amalan Islam, doa kita untuk umat Islam akan dikabulkan oleh Allah S.W.T?

Sempena memperingati kelahiran, penghijrahan, dan kewafatan Rasulullah S.A.W, marilah kita muhasabah diri kita, sejauh mana kita menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W.
Ya Rasulullah, sehingga kini, kami masih tidak mampu untuk mengamalkan sepenuhnya apa yang diajar olehmu. Kami masih tidak mampu untuk bertindak meluaskan ajaranmu. Kami masih tidak mampu untuk mengamalkan sunnah-sunnahmu.

Ya Allah, berikanlah kepada kami kekuatan untuk mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W sesuai dengan keadaan kami.

Ya Allah, ampunilah hambaMu ini kerana masih tidak mampu mengubah masyarakat di sekelilingnya.

0 comments: