Saturday, August 29, 2009

1

Budaya Ilmu Dan Kemerdekaan

Posted in , ,
Assalamualaikum w.b.t,
Salam Ramadhan Al-Mubarak,
Salam Kemerdekaan.

Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T, kerana dengan izinNya negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia masih berada dalam nikmat kemerdekaan, dan hingga kini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun.

Setelah lebih setengah abad Malaysia merdeka daripada penjajahan mana-mana kuasa asing, Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi, terutamanya dalam aspek pembangunan fizikal. Sebagai contoh; daripada bangunan yang tidak lebih daripada 4 tingkat; kepada Menara Berkembar Petronas yang melebihi 80 tingkat; daripada jambatan yang menghubungkan 2 kampung, kepada jambatan yang menghubungkan sebuah pulau dengan semenanjung Malaysia; daripada golongan petani, buruh, dan peladang, kepada golongan professional, usahawan, dan intelek. Tranformasi ini telah melonjakkan negara Malaysia daripada negara dunia ketiga kepada status negara membangun. Namun begitu, bagaimana pula dengan aspek kemerdekaan minda rakyat Malaysia?

Penghayatan Budaya Ilmu, Pencetus Kemerdekaan Minda

Mengenai kemerdekaan, Pendita Za’aba mengatakan: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Za’aba, hlm. 124).

Malah ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.

Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi setiap rakyat menghayati dan menyuburkan budaya ilmu bagi menangkis penindasan dan penjajahan minda, yang kuat menyerang, khususnya kepada golongan muda.

Ibrah Daripada Peristiwa Ramadhan; Kemenangan Dan Kemerdekaan

Sempena bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, elok juga kita menghayati siri-siri kemenangan umat Islam yang pernah berlaku dalam bulan Ramadhan, di man peristiwa ini bukan setakat berjaya memerdekakan umat manusia daripada penjajahan fizikal, malah melonjakkan manusia daripada kemunduran kepada kegemilangan tamadun manusia. Antaranya:-
  • Perang Badar & Serangan Ke Atas Quraish (17 Ramadan 2H/Mac 624M)
  • Pembukaan Kota Mekah(Fathul Makkah) (20 Ramadan 8H/Januari 630M)
  • Peperangan Al-Buwaib & Serangan ke atas Parsi (11 Ramadan 13H/November 834M)
  • Pembukaan Al-Andalus & Kemasukan Islam Ke Eropah (28 Ramadan 91H/Julai 710M)
  • Pembukaan Amuriyyah & Serangan Ke Atas Rom (6 Ramadan 223H/Ogos 838M)
  • Peperangan Ain Jalut & Serangan Ke Atas Tartar (25 Ramadan 658H/3 September 1260M)
  • Pembebasan Sinai & Serangan Ke Atas Israel (10 Ramadan 1393H/6 Oktober 1973M)

Semoga dalam bulan yang mulia ini, di samping meningkatkan ibadat khusus kepada Allah S.W.T, marilah juga kita meningkatkan penghayatan budaya ilmu, agar menjadi perisai daripada penjajahan pemikiran dan minda.

1 comments:

Saturday, August 1, 2009

1

Ikut Suka Aku (I.S.A)

Posted in ,
Tanggal 10 November 2007, sebuah sejarah tercatat apabila lebih daripada 100,000 rakyat berhimpun dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil atau secara ringkasnya BERSIH. Ini merupakan himpunan aman terbesar yang pernah dilakukan sepanjang sejarah Malaysia. Namun begitu, terdapat juga beberapa peristiwa yang tidak diingini berlaku seperti pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam telah bertindak sebaliknya seperti water cannon, gas pemedih mata, dan FRU yang bertindak kasar terhadap para penghimpun. Sekiranya petugas polis dan FRU memainkan peranan menjaga keselamatan awam, tentu sekali perkara seperti ini tidak berlaku. Liputan media bukan setakat dalam negara, malah media luar negara turut melaporkan mengenai tindakan yang tidak sepatutnya diambil oleh Polis dan FRU.

Pada 7 Mac 2009 pula, sekali lagi dihimpunkan lebih kurang 100,000 rakyat bagi menghantarkan memorandum juga kepada Yang Di Pertuan Agong bagi menghantarkan memorandum agar PPSMI dimansuhkan. Perhimpunan yang diadakan pada hari tersebut lebih cabarannya daripada himpunan BERSIH. Antara perkara yang berlaku adalah gas pemedih dicampak ke dalam Masjid Negara, water cannon diletakkan berhampiran dengan masjid tersebut malah terus menembak kearah para penghimpun, kereta dan mereka yang berhampiran. Sedikit gambaran mengenai perkara yang berlaku.


Tidak lebih daripada 5 bulan selepas tarikh tersebut, pada hari ini (1 Ogos 2009), sejarah baru akan tercatat apabila jumlah yang lebih kurang sama (tidak pasti sama ada lebih atau kurang) rakyat berhimpun dan berarak ke tempat yang sama bagi menyerahkan memorandum menuntut agar Internal Security Act (ISA) dimansuhkan. Perancangan himpunan mansuh ISA daripada penganjur Himpunan Mansuh ISA telah lama dilakukan dan diwar-warkan, sepertimana BERSIH dan Mansuh PPSMI dilaksanakan. Namun begitu, agak mengecewakan kerana terdapat segolongan pihak yang mengambil kesempatan ini bagi menimbulkan huru-hara dan menyalahkan pihak MANSUH dengan mengadakan himpunan yang sama, pada tarikh yang sama, asalnya masa yang berbeza tetapi beberapa hari sebelum himpunan ditukarkan kepada masa yang sama iaitu daripada pihak Pro-ISA.

Pada pandangan saya, tujuan mereka adalah jelas lagi bersuluh untuk menimbulkan kekacauan kerana sengaja memilih tarikh, tempat, dan masa yang sama untuk mengadakan perhimpunan. Memang tidak dinafikan hak mereka untuk berhimpun, tetapi sedia maklum pihak GMI (Gerakan Mansuh ISA) sudah lama merancang (setahun) untuk diadakan pada tarkh tersebut sedangkan pihak Pro-ISA hanya merancang tidak lebih daripada 2 bulan. Malah pada hemat saya, perkara ini adalah perancangan terancang untuk mewujudkan suasana huru-hara dan menyalahkan pihak GMI kerana mengadakan himpunan. Mudah saja matematiknya, kita lihat berita pada surat khabar dan berita di televisyen, tentu sekali akan mencemuh sikap GMI.

Secara peribadi, saya menyokong tindakan yang dilakukan oleh GMI, telah lama ISA disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu, sudah maklum bahawa ISA menyalahi syariat Islam, sudah maklum ISA menyalahi hak-hak manusia, sudah maklum ISA patut dimansuhkan sekian lama, sudah maklum, banyak tindakan telah dilakukan untuk menyokong pemansuhan ISA, kini telah tiba masanya untuk bersatu menyatakan hasrat rakyat kepada pemimpin tertinggi negara, bukannya untuk meminda tetapi untuk mansuhkan ISA.

MANSUH ! MANSUH ! MANSUH ISA !!!
DAULAT TUANKU !!!

1 comments: