Saturday, August 29, 2009

1
undefined undefined undefined

Budaya Ilmu Dan Kemerdekaan

Posted in , ,
Assalamualaikum w.b.t,
Salam Ramadhan Al-Mubarak,
Salam Kemerdekaan.

Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T, kerana dengan izinNya negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia masih berada dalam nikmat kemerdekaan, dan hingga kini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun.

Setelah lebih setengah abad Malaysia merdeka daripada penjajahan mana-mana kuasa asing, Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi, terutamanya dalam aspek pembangunan fizikal. Sebagai contoh; daripada bangunan yang tidak lebih daripada 4 tingkat; kepada Menara Berkembar Petronas yang melebihi 80 tingkat; daripada jambatan yang menghubungkan 2 kampung, kepada jambatan yang menghubungkan sebuah pulau dengan semenanjung Malaysia; daripada golongan petani, buruh, dan peladang, kepada golongan professional, usahawan, dan intelek. Tranformasi ini telah melonjakkan negara Malaysia daripada negara dunia ketiga kepada status negara membangun. Namun begitu, bagaimana pula dengan aspek kemerdekaan minda rakyat Malaysia?

Penghayatan Budaya Ilmu, Pencetus Kemerdekaan Minda

Mengenai kemerdekaan, Pendita Za’aba mengatakan: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Za’aba, hlm. 124).

Malah ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.

Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi setiap rakyat menghayati dan menyuburkan budaya ilmu bagi menangkis penindasan dan penjajahan minda, yang kuat menyerang, khususnya kepada golongan muda.

Ibrah Daripada Peristiwa Ramadhan; Kemenangan Dan Kemerdekaan

Sempena bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, elok juga kita menghayati siri-siri kemenangan umat Islam yang pernah berlaku dalam bulan Ramadhan, di man peristiwa ini bukan setakat berjaya memerdekakan umat manusia daripada penjajahan fizikal, malah melonjakkan manusia daripada kemunduran kepada kegemilangan tamadun manusia. Antaranya:-
  • Perang Badar & Serangan Ke Atas Quraish (17 Ramadan 2H/Mac 624M)
  • Pembukaan Kota Mekah(Fathul Makkah) (20 Ramadan 8H/Januari 630M)
  • Peperangan Al-Buwaib & Serangan ke atas Parsi (11 Ramadan 13H/November 834M)
  • Pembukaan Al-Andalus & Kemasukan Islam Ke Eropah (28 Ramadan 91H/Julai 710M)
  • Pembukaan Amuriyyah & Serangan Ke Atas Rom (6 Ramadan 223H/Ogos 838M)
  • Peperangan Ain Jalut & Serangan Ke Atas Tartar (25 Ramadan 658H/3 September 1260M)
  • Pembebasan Sinai & Serangan Ke Atas Israel (10 Ramadan 1393H/6 Oktober 1973M)

Semoga dalam bulan yang mulia ini, di samping meningkatkan ibadat khusus kepada Allah S.W.T, marilah juga kita meningkatkan penghayatan budaya ilmu, agar menjadi perisai daripada penjajahan pemikiran dan minda.

1 comments:

Perlu diingat akan sejarah yang lepas.