Sunday, February 21, 2010

2

Offline Dengan Syaitan

Posted in ,
Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam, dengan izinNya diberi kekuatan untuk menimba ilmuNya melalui pembacaan sebuah buku yang bertajuk “Offline Dengan Syaitan”, karangan Zulkifli Khair. Sesuai dengan zaman di mana rata-rata masyarakat mahukan bacaan yang santai, ringkas, tapi sarat dengan ilmu, cukup untuk memberi kekuatan kepada pembaca untuk offline dengan syaitan...


Buku ini bukanlah satu rujukan lengkap untuk melindungi daripada tipu daya syaitan kerana buku ini ditulis hasil daripada sebahagian daripada kita Talbisul Iblis karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyah, juga diadaptasi daripada terjemahan buku Jerat Syaitan karangan Kauthur Suhardi, juga pengalaman mengajar penulis kelas Islamic Psychology selama 2 semester di UTM. Sebaliknya, ia merupakan cebisan motivasi kepada pembaca dalam mengenali tipu daya syaitan bagi menghindarinya.

Dimulakan buku ini dengan menjelaskan apa dan siapa itu syaitan serta awal kewujudannya, daripada malaikat yang mulia, namun akibat kesombongannya untuk patuh dengan arahan Pencipta, maka diubahnya menjadi iblis laknatullah.

Daripada Abu Said, Nabi Muhammad S.A.W berkata yang bermaksud: “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, demi kemuliaanmu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh meeka berada dalam tubuh mereka.’ Allah menjawab: ‘Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tetap memberi keampunan kepada mereka selama mereka memohon keampunan kepadaku.”
(Hadis direkod oleh Ahmad)


Setelah mengetahui hakikat kewujudan syaitan, diterangkan pula cara-cara atau menurut penulis 'teknologi-teknologi syaitan' yang digunakan untuk menyesatkan manusia. Dari teknologi Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) atau was-was, P1A1, pihak ketiga, bomohisme, filem seram dan mesra magis, kegawatan, dan ejen syaitan. Dalam bahagian yang sama, turut disertakan syaitan-syaitan dari kalangan manusia seperti Lawrence of Arabia jika ditafsir oleh orientalis merupakan wira kepada Tanah Arab tetapi hakikatnya merupakan syaitan yang terlibat dalam perancangan menghancurkan Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Syaitan telah pun dikenali, virus-virusnya juga telah diteliti, maka antivirus pula perlu dilengkapi bagi menangkis serangannya. Dalam bahagian terakhir, beberapa panduan diajar kepada pembaca untuk menangkis serangan-serangan syaitan. Daripada aspek mengemas-kini perisian anti syaitan hinggalah kepada membina blog takwa dalam diri. Di akhir buku ini, disertakan muhasabah diri dengan analogi malunya ber’facebook’ di padang Mahsyar.

Buku ini cukup santai dan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat kerana gaya bahasanya yang mudah difahami dengan analogi yang sesuai dengan zaman IT ini. Moga-moga penulisnya diberi ganjaran atas usaha yang murni ini. Moga Allah melindungi kita semua daripada syaitan yang direjam…

"Offline Dengan Syaitan di puncak Broga"

2 comments:

Thursday, February 18, 2010

2

Bacalah, walau di mana jua lokasi anda…

Posted in , ,
Assalamualaikum w.b.t

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Buku, Aku Cintakan Engkau

Manusia, kadang-kala emosi menguasai diri, kadang-kala kita dikhianati, kadang-kala janji dimungkiri, itulah sifatmu wahai manusia.

Tetapi…

Buku adalah teman yang paling setia. Teman yang sentiasa di sisi, yang tidak akan sama sekali memarahi kita, tidak akan sama sekali mengkhianati kita, tidak akan sama sekali mencabuli kita. Buku, teman yang mahu berkongsi perasaannya bersama kita, berkongsi pengalaman kehidupan bersama kita, berkongsi tauladan bersama kita, tanpa rasa penat lelah, tanpa rasa jemu.

Alhamdulillah, pada 15 Februari 2010 bersamaan dengan 2 Rabiulawal 1431H, selesai membaca buku bertajuk Aku, Buku, dan Cinta ditulis oleh Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Menurut penulis, buku ini bukanlah bertujuan untuk mengajar pembaca teknik-teknik membaca yang betul, bukannya untuk untuk menentukan jenis buku yang sesuai dibaca, dan bukanlah juga buku mengenai cinta. Tetapi, buku ini bertujuan menaikkan semangat cinta membaca buku.

Ketika mendengar kuliah oleh Ustaz Zahazan di MSI UTM, beliau menyebut seramai 90% warga jerman membaca buku. Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia? Bagaimana dengan diri anda?

Penyusunan Tajuk Dalam ‘Aku, Buku, dan Cinta’

Di awal buku, penulis memulakan dengan sebuah awal kisah si pemburu ilmu, berkisar mengenai zaman kanak-kanaknya. Tidak banyak perkara yang dapat diambil mengenai ilmu, TETAPI, gaya penulisan yang mampu membayangkan situasi cerita dalam bayangan kepala amat hebat, seperti diri sendiri terasa berada di kawasan itu.

Justeru, ‘cerpen’ pengembaraan kanak-kanak tersebut disambung, tetapi bukan dengan cerpen, malah dengan bab-bab yang menerangkan akan ilmu (keutamaannya, kenikmatannya, adabnya, prosesnya, nilainya, manfaatnya, hasilnya, dan pelbagai lagi). Dengan membaca, masa berabad dapat diringkas. Fikirkan, para penulis buku, lebih-lebih ketika ledakan ilmu yang dipelopori oleh ulama-ulama Islam, mereka menggunakan hampir sepanjang hidup mereka, hampir seluruh ilmu yang mereka dan dicurahkan dalam buku-buku, kita hanya perlu membaca buku-buku mereka, kadang-kala kita hanya memerlukan masa sehari atau seminggu untuk menghabiskan karya-karya yang memakan masa berbulan-bulan mungkin bertahun-tahun lamanya untuk dihabiskan.

Juga dimuatkan dalam buku, kisah ulama pemburu ilmu, menceritakan perjalanan yang dilalui oleh ulama antaranya Imam Malik, Sufyan Al-Tsauri, Imam Al-Syafi’I, Yahya bin Muin, Imam Ahmad bin Hanbal, Muslim bin Al-Hajjaj, Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyah, Al-Dzahabi, Baqiy bin Makhlad, dan Al-Syaukani. Fikirkan, ada di antara mereka yang telah menuntut ilmu lebih daripada ratusan, malah ada yang ribuan, demi menuntut ilmu. Dan hasil daripada itu, dikarang oleh mereka kitab-kitab yang muktabar antaranya Al-Muwatta oleh Imam Malik, Ar-Risalah oleh Imam Al-Syafi’I, Sahih Muslim oleh Imam Muslim; dan kitab-kitab yang mereka tulis dibaca oleh kita, yang tidak perlu bersusah-payah seperti mereka, malah kesenangan yang lebih daripada mereka. Turut dimuatkan kitab-kitab yang disyorkan untuk dibaca menurut pandangan penulis, Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni.

Di akhir buku ini, penulis berpesan bagi mereka yang minat menulis agar sesuaikan penulisan dengan zamannya. Zaman kini adalah zaman IT, zaman di mana ramai mahukan perkara yang mudah difahami, dan mudah didapati. Tidak bererti tidak perlu menulis menggunakan perkataan-perkataan yang melangit tinggi, tetapi jika sasaran pembaca adalah orang awam, maka sesuaikan penulisan dengan mereka. Malah cara-cara berdakwah juga perlu lebih luas, zaman dahulu tidak punyai komputer, internet, dan wi-fi. Malah hiburan melalui telivisyen juga kurang. Para pendakwah sekarang harus kreatif dalam bersaing dengan mereka yang tidak faham.

Juga ditekankan agar kita senantiasa didampingi oleh buku, sama ada dalam kenderaan, ke kuliah, makan, memasuki waktu tidur, malah tidur dengan buku. Alangkah bahagianya jika tidur dengan buku di atas kita, dan bangun dengan buku di sisi kita.

Bacalah, walaupun anda berada di puncak bukit…

2 comments:

Tuesday, February 2, 2010

0

Apabila Maha’si tua’ Berpencak

Posted in ,
Assalamualaikum w.b.t,
Salam Perpaduan,
Salam Pilihan Raya Kampus (bukan Pemilihan MPP),
Salam Pembebasan Pemikiran Mahasiswa.
Apabila berbicara mengenai politik kampus, tentu akan disentuh golongan mahasiswa kerana merekalah yang melakar pentas politik kampus. Pertembungan antara golongan-golongan mahasiswa yang mempunyai ideologi atau pendirian masing-masing adalah satu perkara lumrah dalam politik kampus. Setiap golongan tentu sekali akan bersungguh-sungguh dalam menyatakan serta memperthankan pendirian golongan mereka.

Namun begitu, realiti yang berlaku dalam politik kampus kini bukan sahaja melibatkan mahasiswa sahaja, malah melibatkan maha’si tua’. Mereka tidak tenang melihat mahasiswa ‘bermain guli’ sesama mereka, mereka mahu turut serta bermain dengan mereka. Mereka tidak tenang melihat mahasiswa ‘menyatakan pandangan’, mereka mahu memberikan pandangan mereka yang tidak sesuai dengan zaman mahasiswa. Mereka tidak tenang melihat mahasiswa mengamalkan demokrasi, mereka mahu mencampur urusan demokrasi mahasiswa.

Pada pandangan saya, campur tangan mereka dalam ‘mencatur’ politik kampus ini cukup menjatuhkan maruah mereka selaku orang yang berpangkat dan bergelaran seperti Professor, Professor Madya, Doktor Falsafah, Pengetua, mahupun pegawai. Mereka sanggup bermain dalam gelanggang pemikiran mahasiswa yang tidak secocok langsung dengan kerangka pemikiran mereka.

Golongan-golongan yang ditulis dalam perenggan atas, merupakan golongan yang bekepentingan (bermakna ada perkara yang perlu mereka jaga). Sebagai contoh, mereka perlu menjaga kerjaya mereka, menjaga pangkat mereka, menjaga status mereka, menjaga kedudukan kewangan mereka, menjaga hubungan mereka, dan menjaga kepentingan-kepentingan peribadi mereka. Ini adalah realiti dan semua orang akan menghadapinya. Apabila mahasiswa telah meninggalkan dunia kemahasiswaan dan masuk ke alam kerjaya, secara semulajadi mereka menjadi orang yang berkepentingan. Mereka perlu menjaga status kewangan mereka agar dapat menjaga diri mereka.

Perkara yang merendahkan golongan berpangkat dan bergelaran ini menjadi maha’si tua’ apabila mereka mempergunakan mahasiswa untuk menjaga kepentingan mereka. Mereka menggunakan doktrinisasi bagi memastikan mahasiswa menjaga kepentingan mereka (secara tidak langsung), sebagai contoh mereka yang terlibat dengan pihak pembangkang (baca: ProMahasiswa) merupakan pengkhianat, akan dibuang kolej, tidak bersama-sama dengan saya, jika pihak pembangkang (baca: ProMahasiswa) ini menang, universiti tidak akan mendapat Univerisiti penyelidikan dan stadium tidak akan dibina.

Geli hati saya apabila terdapat segelintir maha’si tua’ memberitahu kepada mahasiswa sekiranya ProMahasiswa berjaya dalam Pilihan Raya Kampus., kampus tersebut tidak akan mendapat pengiktirafan Universiti Penyelidikan. Walhal, di Universiti Malaya, dengan demonstrasi dari mahasiswa hampir setiap bulan, penyokong dan pendokong ProMahasiswa yang ramai, tokoh-tokoh mahasiswa yang mampu menarik perhatian pihak kerajaan, masih lagi diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan. Hal ini berlaku mungkin kerana kejahilan maha’si tua’ mengenai cirri-ciri yang perlu dicapai oleh sesuatu universiti untuk menjadi Universiti Penyelidikan. Boleh rujuk di capaian ini.


Doktrinisasi palsu yang tidak berasas ini secara tidak langung telah melahirkan mahasiswa yang tidak berinovatif dan tidak kreatif dalam melaksanakan sesuatu perkara. Mereka hanya mengikut telunjuk golongan maha’si tua’ ini dalam melaksakan sesuatu perkara sehinggakan tidak memberi ruang untuk mahasiswa berpencak mengikut ragam sebenar mahasiswa.

Pesanan saya kepada maha’si tua’, cukup-cukuplah merendah dan menghina diri anda. Tunaikanlah peranan anda setaraf dengan gelaran dan pangkat diri anda. Usah lagi mem’bodoh’kan mahasiswa, mari bersama-sama meningkatkan kualiti mahasiswa.

STUDENT POWER !!!

0 comments: