Sunday, January 30, 2011

0

Revolusi Muda Tunisia, Kini di Mesir; Ke Mana Halatujunya dan pengajaran kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Posted in , , , , ,
Minggu ketiga bulan Januari 2011 menyaksikan ribuan pemuda Tunisia bangkit dan menjatuhkan rejim Ben Ali, Presiden Tunisia selama 20 tahun. Bermulanya dengan perasaan tidak puas hati dengan sikap dan tindakan kerajaan Tunisia kepada rakyat, seorang peniaga bertindak membakar diri sebagai tanda protes. Kejadian tersebut menjadi titik klimaks terhadap kezaliman yang dilakukan kepada rakyat Tunisia oleh kerajaan pimpinan Ben Ali.

Kini, akibat takut, Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi. Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan tindakan pimpinan Arab Saudi menerimanya kerana kezaliman yang dilakukannya menurut pandangan saya, tidak perlu dibela lagi. Ironinya, kezaliman pimpinan Ben Ali tidak terhenti di situ sahaja. Isteri kepada Ben Ali, Leila, juga kerana takut telah melarikan diri. Perihal dia melarikan tidak aneh, sendiri buat salah, takut, maka, larilah. Tapi yang menjengkelkan adalah melarikan diri dengan membawa emas yang bernilai lebih daripada 1.5 tan. Persoalannya, dari manakah si Leila mendapat emas sebanyak itu?

Hampir seminggu selepas berlakunya revolusi anak muda Tunisia, di Mesir pula anak muda mereka menaikkan graf gerakan menumbangkan rejim zalim Hosni Mubarak. Demonstrasi demi demonstrasi diadakan bagi menunjukkan benci dan marah rakyat kepada Hosni. Siapa yang tidak kenal Hosni Mubarak? Malukah jika anda beragama Islam dan anda tidak kenal akan Hosni kerana dia yang seringkali menggagalkan bantuan kepada saudara-saudara di Palestin.

Sekali imbas, revolusi ini sekiranya berjaya akan membawa perubahan bukan sahaja kepada negara masing-masing tetapi juga kepada dunia. TETAPI, ke mana halatuju revolusi ini? Siapakah yang mengetuai revolusi ini? Perubahan apakah yang akan berlaku kepada negara-negara ini?

Sekiranya revolusi ini berjaya membawa perubahan dengan menghidupkan keamanan, kebajikan, keadilan, dan nilai-nilai yang selari dengan Islam (walaupun bukan gerakan Islam yang mengetuai revolusi ini,), pada pandangan saya ia sudah cukup baik walaupun ianya bukanlah yang terbaik. Sebagai seorang muslim, lebih baik negara-negara tersebut dipimpin oleh gerakan Islam yang membawa Islam secara keseluruhan.

Tetapi sekiranya revolusi ini hanya membuka jalan kepada satu lagi gerakan yang membawa kezaliman daripada sudut yang sedikit berbeza daripada kerajaan sekarang, maka revolusi ini tidak akan membawa kebaikan, malah kesan sebelum dan selepas revolusi ini adalah sama sahaja, cuma dalam bentuk yang berbeza.

Sejarah Malaysia juga pernah berlaku revolusi sedemikian rupa tetapi lebih kepada reformasi yang berlaku pada 1998. Reformasi itu lebih berkisar terhadap seorang tokoh politik tanah air iaitu Anwar Ibrahim. Walaupun reformasi itu bukanlah didasarkan kepada Islam, tetapi ia membuka ruang kepada salah satu gerakan Islam di Malaysia, Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk meluaskan pengaruhnya.

Selepas berlakunya reformasi 1998 di Malaysia, ramai rakyat Malaysia menyertai PAS. Saya tidak pasti apa yang berlaku pada di kawasan selain PAS Kawasan Kelana Jaya, tetapi di sini ketika ini (baca: 2011) banyak kad-kad ahli yang berdaftar pada tahun 1998-2000 terbiar begitu sahaja tidak diambil. Kegagalan menguruskan ahli yang ramai secara tiba-tiba dan kegagalan membaca kehendak rakyat dengan PAS memainkan rentak lamanya menyebabkan gelombang reformasi kekal tidak lebih daripada 5 tahun sahaja.

Bermulanya sesuatu revolusi menumbangkan kezaliman; secara langsung mahupun tidak akan membuka peluang kepada mana-mana gerakan tidak kira gerakan Islam, Sosialis, Nasionalis dan lain-lain bagi mengambil peluang tersebut meluaskan pengaruhnya. Yang diharapkan oleh saya adalah gerakan yang bakal menggantikan kerajaan zalim yang sedia ada adalah kerajaan yang benar-benar adil. Islam membawa pakej keadilan yang sempurna, kepada mana-mana gerakan yang Islam, bawalah Islam dengan sempurna dan kepada gerakan-gerakan yang mengaku membawa Islam tetapi secara realitinya membawa fahaman lain, berhentilah atau tunggu sahaja balasannya di akhirat nanti.

Sultan Muhammad bin Murad mengambil masa 53 hari bagi menakluk konstantinople (yang ketika itu turut bertindak zalim kepada rakyatnya). Bersabarlah para pejuang, kemenangan menantimu, jika tidak di sini, di akhirat nanti.

(gambar-gambar belum sempat dimasukkan lagi)

0 comments: