Tuesday, March 25, 2008

0
undefined undefined undefined

Cukupkah…?

Posted in ,

Sudah beberapa hari berlalunya, sambutan Maulidur Rasul 1429H…

Sudah beberapa hari berlalunya, perarakan umat Islam sambil berselawat ke atas Rasulullah S.A.W…

Sudah beberapa hari berlalunya, program-program yang diadakan untuk memperingati Rasulullah S.A.W…

Sudah beberapa hari berlalunya, para Ustaz dan Ustazah di seluruh negara menyarankan kepada umat Islam agar kita mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai tanda CINTA kita kepada baginda…

Namun begitu, selepas seketika perkara-perkara di atas dilakukan, perkara sebaliknya yang berlaku…

Baru-baru ini, ketika saya dan sahabat-sahabat saya bersama mendengar suatu forum yang membincangkan mengenai cinta kita kepada Rasulullah S.A.W, alangkah kecewanya saya ketika saya melihat suasana di sekitar forum itu. Terdapat lelaki dan perempuan yang berdiri bersebelahan umpama pasangan suami isteri sedangkan mereka merupakan pelajar IPT yang belum berkahwin sambil mendengar forum. Terdapat juga pasangan yang begitu ‘mesra’ sekali mendengar forum tersebut. Lalu saya pun berkata, “Ini semua ni retorik je ni. Setakat nak menunjukkan kepada semua, selain daripada program-program yang kurang sihatnya, sekurang-kurangnya ada juga program yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.”

SEDIH…

Itulah perasaan saya apabila memikirkan mengenai perkara ini. Muhammad Rasullah S.A.W, merupakan seorang insan yang telah menyayangi ummatnya lebih awal daripada ummatnya sendiri.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Seorang insan, kekasih Allah S.W.T yang diamanahkan menjadi Rasulullah S.A.W, telah mengasihi umatnya yang belum lahir di bumi Allah ini. Dan jikalau kita mengikut kalender hijrah, sudah melebihi 1400 tahun Rasulullah mengasihi kita. Dimanakah pula kasih sayang kita kepada baginda?

CUKUPKAH…?

Adakah dengan kita membuat forum sudah mencukupi?

Adakah dengan kita sekadar mengamalkan sunnah baginda yang zahir sahaja seperti menutup aurat, memakai pakaian labuh, memakai kopiah dan/atau serban, bersolat secara berjemaah sudah mencukupi?

Adakah dengan berselawat ke atas baginda S.A.W sudah mencukupi?

Beberapa persolan yang perlu dijawab oleh diri masing-masing. Saya bukanlah seorang ustaz apatah lagi ulama untuk mengeluarkan hukum mengenai persoalan-persoalan ini.

Cuma bagi pendapat saya, jikalau kita melihat sirah Rasulullah S.A.W, baginda telah melalui pelbagai ujian sepanjang kehidupan baginda untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Baginda pernah…

Dicaci, dihina, dipulaukan, dihalau, dipukul, dituduh dengan pelbagai jenis tuduhan seperti pemecah umat dan gila, isteri baginda difitnah, dan pelbagai lagi ujian…

Bagaimana pula dengan kita? Dewasa kini, Islam seringkali dicaci, dihina, dan dipermainkan. Pernahkah kita bangkit dan berjuang menegakkan Islam? Dan di dalam perjuangan kita itu, pernah kita alami sepertimana Rasulullah S.A.W alami. Allah berfirman :-

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

Surah Al-Baqarah (2) : 155

BANGKITLAH!!!

Oleh itu, saya mengajak sahabat-sahabat sekalian, pada masa ini, tidak cukup sekadar kita melafazkan cinta kita kepada Rasulullah S.A.W, tetapi di sekitar kita, maksiat berleluasa, Islam dihina, Islam dipermainkan, dan Islam difitnah oleh umatnya sendiri. Dari itu bangkitlah wahai umat Muhammad S.A.W dan teruskanlah perjuangan baginda hingga ke akhir hayat sebagai tanda CINTA kita kepada Baginda S.A.W dan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:-

110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Surah Ali Imran (3) : 110

-Insan Yang Mencintaimu, Ya Rasulullah S.A.W-

0 comments: