Tuesday, June 3, 2008

0
undefined undefined undefined

AUKU....?

Posted in , ,
Telah bertahun-tahun Pro-Mahasiswa di setiap kampus bersatu menyatakan pandangannya mengenai AUKU.
Telah bertahun-tahun Solariditi Mahasiswa Malaysia (SMM) menghimpunkan mahasiswa untuk bersama-sama bangkit menyatakan ketidakpuasan terhadap AUKU.
Telah bertahun-tahun Pro-Mahasiswa tidak diendahkan apabila menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi...



Tetapi kini, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa beberapa fasal dalam AUKU akan dipinda, maka Pro-Aspirasi (YDP UKM dan YDP UPM) yang selama ini yang hanya menurut, meneruskan tradisi mereka untuk menurut apa yang dikatakan oleh kerajaan.

Jikalau sebelum ini mereka (Pro-Aspirasi) mengatakan tidak perlu dipinda sebagai mana dikatakan oleh kerajaan, kini mereka terus menurut. Bukannya penulis ingin mengatakan tidak perlu mereka menurut, tetapi untuk kali ini, lebih baik mereka menurut kerana dengan menurut sekurang-kurangnya mereka dapat ‘memperjuangkan’ kebebasan mahasiswa IPT. Penulis mengharapkan selepas ini Pro-Aspirasi dapat bekerjasama dengan Pro-Mahasiswa untuk berganding bahu memperjuangkan hak mahasiswa. Tunjukkanlah bahawa golongan mahasiswa ini bukannya golongan yang lesu dan tidak berani menyuarakan hak yang sepatutnya dikecapi.

Apa yang ingin penulis tekankan adalah, gerakan untuk meminda AUKU ini telah lama wujud, dan diperkuatkan lagi dengan tertubuhnya Gerakan Mansuhkan AUKU (GMA) kemudian ditukar kepada Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), demonstrasi bersilih ganti, memorandum terus dihantar, namun tiada perubahan yang diinginkan

Tetapi, ketentuan bergantung kepada Allah S.W.T, akhirnya pada tahun 2008, jemaah menteri akan membincangkan mengenai pindaan AUKU. Apa yang akan berlaku selepas ini, samada akan dipinda ataupun tidak, jika dipinda adakah lebih baik ataupun tidak, kita tunggu dan lihat…

~Daripada Mahasiswa Untuk Mahasiswa~
~A New Hope, A New Inspiration~

Usah kongkong pelajar berpolitik
Oleh Zainab Mohd Yatim
Persatuan harap pindaan AUKU tak sekat hak mahasiswa

KUALA LUMPUR: Pertubuhan perwakilan pelajar universiti berharap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak disertai peraturan baru yang mengongkong khususnya membabitkan hak pelajar berpolitik.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Zaid Mohd Idrus, berkata disamping hasrat kerajaan mahu melihat mahasiswa yang lebih berketrampilan dan cemerlang dalam akademik, hak pelajar berpolitik tidak boleh disekat.
"Kami menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda AUKU, tetapi isu yang menjadi perdebatan ketika ini ialah mengenai pembabitan pelajar dalam politik dan ini tidak seharusnya dijadikan teras pindaan.

"Bila kita memperkatakan hal berpolitik, ia hak semua rakyat lebih-lebih lagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, yang memberi jaminan pindaan kepada AUKU tidak akan mengongkong pembabitan pelajar dalam kegiatan yang membina dan konstruktif.
Mohd Zaid berkata, kehidupan mahasiswa seharusnya tidak terhad hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial dan perpustakaan, sebaliknya membabitkan seluruh kehidupan universiti dan masyarakat, termasuk kokurikulum, kebajikan dan politik kampus.

Pembabitan seumpamanya mampu untuk mematangkan kepemimpinan mahasiswa dan membuka minda mereka untuk memandang kepada dunia luar sebagai penilaian mengenai apa yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, berkata pembabitan pelajar dalam politik tidak dapat dielakkan.

"Dalam akhbar yang kami baca setiap hari pun begitu banyak mengetengahkan mengenai politik, justeru apa yang berlaku sekurang-kurangnya membuatkan kami mahu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa dan tidak terlalu terkongkong dengan tanggungjawab sebagai pelajar.
"Malah bukan isu politik saja yang menjadi minat pelajar, sebaliknya pelbagai isu semasa dalam negara dan global, yang juga tidak dapat lari daripada perkembangan politik semasa," katanya dengan keyakinan pindaan itu akan 'membebaskan' pelajar universiti, bukan untuk jalan salah, sebaliknya bebas untuk membina kecemerlangan diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohd Hilmi Ramli, berkata perbincangan mengenai AUKU lebih kepada isu yang mengikat pelajar daripada isu berkaitan politik.

"Akta yang terhad akan membantutkan minda pelajar untuk melahirkan pendapat dan berhujah sedangkan ini adalah sebahagian kemahiran ini yang perlu dijana dalam diri seorang pelajar cemerlang," katanya.
-Berita Harian-

Rasional pindaan AUKU

MUHAMMAD ZUKHAIRI MUHAMMAD SALEHUDDIN
UIAM
(Pro-Mahasiswa)

REAKSI Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pemindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga caj tiga peratus Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan baru-baru ini pasti disambut baik oleh sebilangan besar mahasiswa di negara ini.

Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua perkara ini hangat dibicarakan oleh seluruh mahasiswa. Perdebatan yang tidak henti-henti ini diharapkan akhirnya dapat memberi kesan yang amat baik kepada warga mahasiswa sekalian.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama, golongan mudalah yang menjadi harapan dan tumpuan pembentukan minda kelas pertama ini.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa golongan mahasiswa atau golongan muda inilah merupakan aset sesebuah negara yang amat berharga. Jika salah corak yang dilakar, maka buruklah golongan muda yang bakal menjadi pemandu negara satu ketika nanti.

Maka, satu budaya analitikal dan kritikal perlu dibentuk agar golongan ini mampu mencabar minda mereka ke tahap maksimum.

Kebebasan dalam mengutarakan pendapat yang kritis juga perlu diberi agar mahasiswa mempunyai jiwa besar. Segala kekangan yang mampu menghalang dan menakut-nakutkan sebilangan besar mahasiswa perlu dialihkan.

Di samping itu, kegiatan kemasyarakatan perlu dipergiat lagi. Daripada aktiviti seumpama inilah mahasiswa dapat menyelami keadaan masyarakat di luar sana dan mampu menerapkan semangat saling membantu, bertanggungjawab serta toleransi antara satu sama lain.

Keterlibatan bersama badan bukan kerajaan juga mampu membantu menjadi mangkin kepada hasrat murni kerajaan dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama.

Melalui aktiviti seumpama ini, mahasiswa tidak akan hanya terkongkong dan terikat dengan kelas dan kawasan kampus sahaja.

Sebaliknya mahasiswa lebih terbuka dan matang dalam memahami keadaan negara serta menghargai keadaan yang ada.

Menyorot kembali era kemahasiswaan dahulu kala, mahasiswa merupakan mereka yang petah dan lantang berbicara. Pentas pengucapan umum perlu dibuka semula bagi memastikan mahasiswa mampu membina keyakinan diri serta mempelajari disiplin mengutarakan pandangan melalui sumber dan fakta yang konkrit.

KerenahKerenah birokrasi yang wujud dapat dikendurkan agar tidak membantutkan proses perkembangan mahasiswa, aset negara ini.

Jika sistem sedia ada mampu juga melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, maka saya percaya dengan sedikit lagi kelonggaran mampu melahirkan mereka yang lebih berketerampilan serta mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.

Berkaitan PTPTN, sekiranya dapat dihapuskan caj tiga peratus itu, semestinya ia merupakan berita yang melegakan buat seluruh mahasiswa. Dengan masih adanya isu pengangguran, kos hidup yang semakin tinggi, sudah pasti jika dapat dihapuskan caj ini, ia dapat melegakan sedikit para graduan yang baru menginjak dalam dunia pekerjaan.

Isu riba atau tidak, sudah begitu banyak seminar dan pembentangan kertas kerja dilakukan. Paling tidak, sekiranya perlu dikenakan caj perkhidmatan, biarlah sistemnya betul dan tepat. Hal ini juga dilihat sebagai bertepatan dengan negara kita yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara. Pemurniaan demi pemurniaan dalam sistem sedia ada perlu diteruskan demi menjunjung semangat yang diterap ke dalam perlembagaan negara.

Adalah menjadi harapan agar berlakunya perubahan dan pemurniaan dalam kedua-dua perkara ini yang telah menjadi bahan debat sejak dahulu lagi.

Moga-moga usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama dapat direalisasikan dengan sedikit perubahan ini.
-Utusan Malaysia-

0 comments: