Sunday, June 1, 2008

0
undefined undefined undefined

Naik Lagi…?

Posted in ,

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca satu berita yang menunjukkan permintaan pengusaha melalui Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bas untuk menaikkan lagi tambang bas. PMBOA memohon agar tambang bas dinaikkan sebanyak 100% bertujuan untuk menampung kos operasi serta alat ganti. Dari satu sudut, permintaan PMBOA untuk menaikkan lagi tambang bas dilihat agak relevan kerana, dengan kenaikan harga minyak di pasaran, kenaikan harga makanan, kenaikan harga alat ganti, dan akibat daripada kenaikan harga barang-barang ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pengurusan pengusaha bas...

Sekali pandang, dengan hanya melihat kepada kadar kenaikan barang di pasaran dunia, kenaikan harga tambang bas adalah relevan. Namun begitu, jika dibandingkan dengan perkhidmatan bas di tempat lain (luar Negara seperti London), perkhidmatan bas di Malaysia terutamanya bas berhenti-henti adalah mengecewakan (bagi pandangan saya).

Ketika saya berada di London pada tahun lepas, perkhidmatan bas adalah sangat memuaskan. Dari aspek ketepatan masa, jadual bas, maklumat perjalanan bas, dan pelbagai lagi sangat mudah untuk didapati. Di setiap pondok bas, di kedai runcit, dan juga di hotel-hotel menyediakan pelbagai maklumat untuk didapati mengenai system perkhidmatan pengangkutan awam yang terdapat di kotaraya London. Masa untuk menunggu antara bas juga adalah singkat, ditambah lagi dengan cuaca di sana yang dingin, tak kisah sekiranya terpaksa menunggu bas. Tetapi dengan cuaca di Malaysia yang tidak menentu, sekejap panas lepas tu hujan, tentu sekali masyarakat tidak ingin menunggu bas dalam masa yang lama.


Pada pandangan saya, saya merasakan kenaikan tambang bas ini adalah releven tetapi bukan sebanyak 100%, mungkin dalam lingkungan 15%-20%, disamping itu mestilah terdapat peningkatan dalam perkhidmatan bas.

Apa gunanya penswastaan tetapi kualiti tidak meningkat.

Pengusaha bas minta naik tambang
Oleh Amin Ridzuan Ishak
.
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memohon untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.
.
Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berikutan peningkatan mendadak harga diesel dan alat ganti.
.
"Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005 sedangkan harga diesel sudah dinaikkan tiga kali, manakala kos alat ganti pula semakin bertambah," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
.
Mengikut cadangan PMBOA, tambang bas ekspres berhawa dingin di Semenanjung perlu dinaikkan kepada 15 sen untuk jarak satu kilometer (km) berbanding 6.5 sen setiap km kadar sekarang.
.
Bagi perkhidmatan bas ekspres tanpa penghawa dingin pula, PMBOA memohon kenaikan tambang sebanyak 10 sen setiap kilometer berbanding 5.5 sen yang dikenakan ketika ini.
.
"Bagi bas berhenti-henti berhawa dingin, kami meminta kenaikan tambang kepada RM1.50 untuk setiap km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 72 sen dan 7.2 sen.
.
"Bagi bas berhenti-henti tanpa pendingin hawa, kami memohon tambangnya dinaikkan kepada RM1 untuk setiap dua km pertama dan 15 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 48 sen dan tujuh sen.
.
"Bagi laluan berbukit pula, kami memohon supaya dibenarkan caj tambahan sebanyak 20 peratus lagi daripada kenaikan itu," katanya.
.
Ashfar berkata, bagi pengusaha di Sarawak, PMBOA mahu kadar tambang bagi bas ekspres berhawa dingin dinaikkan kepada 22 sen bagi km pertama berbanding 11 sen ketika ini di Sabah, ia dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen untuk jarak yang sama.
.
"Bagi bas ekspres tanpa penghawa dingin di Sabah, kadar kenaikan tambang yang dicadangkan adalah 15 sen bagi kilometer pertama berbanding 8.5 sen ketika ini.
.
Bagaimanapun tiada jumlah ditetapkan untuk Sarawak," katanya.
.
Bagi bas berhenti-henti tanpa penghawa dingin di Sarawak, pihaknya mencadangkan tambang lima km pertama dinaikkan kepada RM1.20 dan 15 sen bagi setiap km berikutnya manakala bagi yang berhawa dingin, masing-masing diminta dinaikkan kepada RM1.50 dan 20 sen untuk jarak sama.
.
Di Sabah pula, PMBOA memohon tambang bas berhenti-henti berhawa dingin dinaikkan kepada RM1.50 bagi dua km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya manakala yang tidak berhawa dingin, kadar dicadangkan adalah masing-masing RM1 dan 15 sen untuk jarak laluan sama.
.
Selain itu, PMBOA memohon supaya kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas mini daripada masing-masing 80 sen kepada RM1.10 untuk yang berhawa dingin dan daripada 70 sen kepada RM1 bagi yang tidak berhawa dingin.
.
PMBOA turut meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengehadkan pemberian permit bas bagi mengelak ia menjejaskan lagi pendapatan pengusaha bas sedia ada.
.
Ashfar berkata, pengusaha mendapati kenaikan tambang yang diumumkan pada 2005 bukan saja gagal membantu mereka meningkatkan keuntungan, malah tidak cukup untuk menampung kos operasi masing-masing.
.
"Akibatnya, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu ialah jika kerajaan membenarkan kami menaikkan kadar tambang perkhidmatan.
.
"Kami bukannya mahu menyusahkan pengguna atau mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak tetapi jika keadaan terus begini, kita bimbang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan akhirnya ia akan membebankan orang ramai," katanya.

-Berita Harian-

0 comments: