Sunday, February 21, 2010

2

Offline Dengan Syaitan

Posted in ,
Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam, dengan izinNya diberi kekuatan untuk menimba ilmuNya melalui pembacaan sebuah buku yang bertajuk “Offline Dengan Syaitan”, karangan Zulkifli Khair. Sesuai dengan zaman di mana rata-rata masyarakat mahukan bacaan yang santai, ringkas, tapi sarat dengan ilmu, cukup untuk memberi kekuatan kepada pembaca untuk offline dengan syaitan...


Buku ini bukanlah satu rujukan lengkap untuk melindungi daripada tipu daya syaitan kerana buku ini ditulis hasil daripada sebahagian daripada kita Talbisul Iblis karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyah, juga diadaptasi daripada terjemahan buku Jerat Syaitan karangan Kauthur Suhardi, juga pengalaman mengajar penulis kelas Islamic Psychology selama 2 semester di UTM. Sebaliknya, ia merupakan cebisan motivasi kepada pembaca dalam mengenali tipu daya syaitan bagi menghindarinya.

Dimulakan buku ini dengan menjelaskan apa dan siapa itu syaitan serta awal kewujudannya, daripada malaikat yang mulia, namun akibat kesombongannya untuk patuh dengan arahan Pencipta, maka diubahnya menjadi iblis laknatullah.

Daripada Abu Said, Nabi Muhammad S.A.W berkata yang bermaksud: “Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, demi kemuliaanmu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh meeka berada dalam tubuh mereka.’ Allah menjawab: ‘Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tetap memberi keampunan kepada mereka selama mereka memohon keampunan kepadaku.”
(Hadis direkod oleh Ahmad)


Setelah mengetahui hakikat kewujudan syaitan, diterangkan pula cara-cara atau menurut penulis 'teknologi-teknologi syaitan' yang digunakan untuk menyesatkan manusia. Dari teknologi Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) atau was-was, P1A1, pihak ketiga, bomohisme, filem seram dan mesra magis, kegawatan, dan ejen syaitan. Dalam bahagian yang sama, turut disertakan syaitan-syaitan dari kalangan manusia seperti Lawrence of Arabia jika ditafsir oleh orientalis merupakan wira kepada Tanah Arab tetapi hakikatnya merupakan syaitan yang terlibat dalam perancangan menghancurkan Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Syaitan telah pun dikenali, virus-virusnya juga telah diteliti, maka antivirus pula perlu dilengkapi bagi menangkis serangannya. Dalam bahagian terakhir, beberapa panduan diajar kepada pembaca untuk menangkis serangan-serangan syaitan. Daripada aspek mengemas-kini perisian anti syaitan hinggalah kepada membina blog takwa dalam diri. Di akhir buku ini, disertakan muhasabah diri dengan analogi malunya ber’facebook’ di padang Mahsyar.

Buku ini cukup santai dan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat kerana gaya bahasanya yang mudah difahami dengan analogi yang sesuai dengan zaman IT ini. Moga-moga penulisnya diberi ganjaran atas usaha yang murni ini. Moga Allah melindungi kita semua daripada syaitan yang direjam…

"Offline Dengan Syaitan di puncak Broga"

2 comments:

sudah makin fasih berpuitis..

'Copy dan paste' sahaja pantun tu...